PELAKON yang pernah memenangi anugerah Oscar, Cuba Gooding Jr akan dibicarakan atas tuduhan meraba seorang wanita di New York selepas mahkamah menolak rayuannya untuk kes itu digugurkan.
Gooding, 51, dituduh meraba payudara seorang wanita tanpa kebenarannya di sebuah bar di Manhattan pada Jun.
Pelakon filem “Jerry Maguire” itu didakwa melakukan sentuhan secara paksa dan berdepan hukuman penjara setahun jika disabitkan bersalah.
Gooding menafikan semua tuduhan itu dan peguamnya memfailkan permohonan untuk kes itu digugurkan, mengatakan rakaman daripada kamera keselamatan di bar itu menunjukkan anak guamnya tidak bersalah.
Tetapi, pada Rabu, Hakim Mahkamah Jenayah New York Phyllis Chu menolak permohonan itu, berkata perkara bercanggah tentang apa yang berlaku hanya boleh diselesaikan menerusi perbicaraan.
Gooding serah diri kepada polis pada 13 Jun dan dibebaskan sehari kemudian tanpa ikat jamin.
Perbicaraan ditetapkan 3 September.
Gooding memenangi Anugerah Academy pada 1997 untuk lakonannya sebagai pemain bola dalam “Jerry Maguire.”
Yang terbaru, beliau memegang watak sebagai OJ Simpson dalam filem “The People vs OJ Simpson: American Crime Story”. – AFP, 9 Ogos, 2019.
Komen