LANGSUNG: Pegawai SPRM beritahu bagaimana dokumen pinjaman RM4 bilion diperolehi


Bede Hong Timothy Achariam

Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain dipanggil sebagai saksi terakhir dalam perbicaraan SRC International.– Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Ogos, 2019.

SAKSI pendakwaan ke-57 dan merupakan saksi terakhir, iaitu pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dipanggil hari ini untuk memberi kesaksian pada perbicaraan SRC International Najib Razak yang memasuki hari ke-51 hari ini.

Saksi hari ini, yang dikenal pasti sebagai Rosli Husain dalam keterangan saksi sebelum ini, menyoal individu dari AmBank, Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) dan SRC International berkaitan tujuh pertuduhan jenayah yang difailkan terhadap Najib.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan pendengaran ditangguhkan awal selepas timbalan pendakwa raya ad hoc V. Sithambaram berkata, pihak pendakwaan bersetuju untuk meneliti 600 barang kes yang mempunyai kaitan dengan saksi, dengan pihak pembelaan di uar mahkamah untuk bersedia bagi keterangan hari ini.

Sementara itu, saksi semalam, bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah memberi keterangan beliau meletakkan jawatan pada 2016 selepas pelan rasionalisasinya untuk 1Malaysia Development Berhad tidak dipatuhi oleh Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Pelan itu adalah penjualan ekuiti atau aset dalam Edra Energy, Bandar Malaysia dan Tun Razak Exchange (TRX), dan pelupusan aset bukan teras.

Saksi berusia 67 tahun itu memberi keterangan bahawa Najib yang mengarahkannya membuat pelan rasionalisasi. Beliau berkata, pelaksanaannya bagaimanapun diserahkan kepada Arul Kanda, yang mana tindakan itu diluluskan oleh Najib.

Tambah Husni, satu lagi faktor yang menyebabkan beliau meletakkan jawatan adalah apabila beliau diminta oleh Najib untuk bertukar dari Kementerian Kewangan ke kementerian lain. Beliau meletakkan jawatan pada 27 Jun, 2016.

Menurutnya, beliau memaklumkan kepada media, peletakan jawatannya tiada kaitan dengan SRC International dan 1MDB.

“Saya tidak bercakap benar. Saya hanya melindungi PM,” katanya.

Pertuduhan ke atas Najib adalah berkaitan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Najib diwakili sepasukan peguam yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwaan.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

5.11pm: Prosiding ditangguhkan dan bersambung Selasa jam 2 petang.

5.08pm: Sithambaram beritahu Hakim Nazlan pasukan pendakwa mahu menarik balik permohonan berkenaan catatan Najib di Facebook berkenaan kes ini.

Beliau memberi alasan mereka dinasihatkan berbuat demikian.

Shafee berkata beliau gembira dengan keputusan pendakwaan.

Nazlan berkata perkongsian mengenai bukti menghampiri menghina mahkamah dan beliau menasihatkan sebarang perkongsian di media sosial perlu mendapatkan nasihat peguam.

3.46pm: Rosli menerangkan secara terperinci bagaimana beliau dapatkan dokumen dari KWAP mengenai perjanjian RM4 bilion kepada SRC International. 

3.44pm: Rosli berkata beliau cuba dapatkan dokumen asal yang diberi oleh Ihsan Perdana. Katanya, pegawai-pegawai SPRM ketika itu tidak tahu sama ada ia dokumen asal atau salinan.

3.39pm: Saksi terakhir pendakwaan, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain sekali lagi dipanggil ke kandang saksi.

3.38pm: Pemeriksaan balas dengan Shuzairizman tamat. Harvinderjit menandakan beberapa log perbualan dan e-mel yang tidak dikemukakan sebagai bukti sebelum ini. Saksi itu dibenarkan keluar dari kandang saksi. 

3.19pm: Harvinderjit mula menyoal balas Shuzairizman.

3.11pm: Prosiding bersambung. Saksi ke-46 pendakwaan, pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) Shuzairizman Shuib dipanggil untuk sesi pemeriksaan balas.

Beliau diminta mengesahkan log perbualan BlackBerry yang diekstrak dari telefon bimbit Joanna Yu.  Log perbualan itu baru sahaja beliau perolehi.

Saksi ke-46 pendakwaan, pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) Shuzairizman Shuib dipanggil semula ke mahkamah untuk memberi keterangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2019.

12.28pm: Mahkamah berhenti rehat dan akan bersambung pukul 3 petang.

12.09pm: Mahkamah bersambung dengan Rosli mengenal pasti dokumen SRC International.

11.53am: Mahkamah berehat lima minit atas permintaan Sithambaram untuk berunding dengan saksi.

11.29am: Rosli berkata pengerusi SRC International Ismee Ismail membawa bersamanya minit mesyuarat 2013 yang disimpan dalam keretanya ketika temubual dengan SPRM.

Menurutnya, beliau tidak menandatangani minit berkenaan dan SPRM tidak memiliki minit yang diserahkan oleh Ismee.

11.10am: Rosli berkata pada 6 Julai, 2015, Prem Raj bertemu dengannya untuk menyerahkan dokumen melibatkan kes berkenaan. Beliau menyerahkkan dua buku setiausaha SRC International dan satu daripada syarikat pelaburannya Gandingan Mentari.

Buku berkenaan antara lain mengandungi surat pelantikan dan minit mesyuarat.

Anak perempuan Najib, Nooryana Najwa turut hadir dan duduk di belakang bapanya di galeri awam.

Bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob telah meninggalkan mahkamah selepas dilihat turut hadir.

11am: Satu laporan dibuat pada 3 Julai, 2015 berhubung SRC International oleh penolong pesuruhjaya forensik perakaunan SPRM, Prem Raj.

Rosli berkata beliau menyiasat kes berkenaan di bawah Akta SPRM, Amla dan Kanun Keseksaan.

Menurutnya, lima individu yang teribat dalam kes ini telah meninggal dunia iaitu Azlin Alias, Noriah Ahmad, Zainal Abidin Osman, Ahmad Norhisham dan Izette Izairy.

10.56am: Rosli berkata dalam siasatananya, terdapat lebih 1,000 dokumen yang perlu beliau teliti sebagai bukti.

Dokumen itu adalah daripada institusi kewangan dan perbakan, Kementerian Kewangan, SRC International, Ihsan Perdana Sdn Bhd dan Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Beliau dibantu oleh pegawai lain dalam bahagian forensik perakaunan SPRM, antara lain.

10.51am: Pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Rosli Hussain mengambil tempat.

Beliau kini berada di bahagian operasi khas SPRM. Dalam kes ini, Rosli adalah pegawai penyiasat. Beliau ditugaskan untuk kes itu pada bulan Julai 2015.

10.49am: Perbicaraan bermula. Peguam bela Harvinderjit meminta dokumen daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk ditanda oleh mahkamah. – 9 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen