NAIB presiden Parti Warisan Sabah Peter Anthony direman lima hari bermula hari ini untuk membantu siasatan penyelewengan dana persekutuan berjumlah RM1.5 bilion untuk pembangunan luar bandar di Sabah.
Seorang kontraktor yang juga ahli perniagaan berusia 54 tahun turut direman dalam tempoh yang sama.
Perintah reman lima hari dikeluarkan oleh Majistret Stephanie Syron Abbie setelah permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau ditahan petang semalam ketika hadir di pejabat SPRM di Sabah untuk memberi kenyataan.
Beliau merupakan antara beberapa ahli perniagaan dan kontraktor di Sabah yang memperoleh projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) yang pernah diterajui oleh Shafie Apdal, presiden Warisan.
Terdahulu hari ini, Timbalan Pesuruh Jaya SPRM (Operasi) Azam Baki berkata RM1.5 bilion iu merupakan sebahagian daripada RM7.5 bilion dana persekutuan yang diperuntukkan kepada negeri Sabah dari 2010 hingga 2016 untuk projek bekalan air dan elektrik.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM.
Anthony diwakili pasukan tiga peguam iaitu Martin Tony, Loretto Padua Jr dan Cdric Choo, manakala pegawai penyiasat SPRM yang memohon perintah reman itu adalah Mohd Faliq Basiruddin.
Sekumpulan penyokong Parti Warisan Sabah turut berada di mahkamah sejak 8 pagi hari ini namun diberitahu oleh pegawai mahkamah perintah reman hanya dibuat jam 2.30 petang.
Bangunan mahkamah terbabit sekali lagi penuh dengan penyokong parti itu selepas tengah hari ketika ketibaan Anthony yang berpakaian lokap SPRM berwarna jingga dan bergari sekitar jam 2.45 petang.
Sorakan sokongan terhadapnya bergema sebaik sahaja dia melangkah keluar daripada kenderaan SPRM. – 6 Oktober, 2017.
Komen