PASUKAN keselamatan Mesir membunuh 17 orang “pengganas” pada Khamis dalam operasi terhadap suspek insiden letupan kereta di Kaherah yang meragut 20 nyawa.
Kementerian dalam negeri berkata 17 yang terbunuh itu merupakan anggota kumpulan Hasm, iaitu sebuah kumpulan yang diharamkan.
Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sissi menyifatkan rempuhan ke atas beberapa kenderaan di Kaherah itu sebagai “tindakan keganasan” kerana salah sebah daripada kereta terlibat penuh dengan bahan letupan.
Rempuhan itu berlaku sejurus selepas tengah malam pada Ahad, apabila sebuah kereta yang dipenuhi bahan letupan dipandu menentang aliran trafik dan melanggar tiga kenderaan ain di luar Institut Kanser Negara di ibu negara Mesir.
Menurut kementerian kesihatan, sekurang-kurangnya 20 orang terbunuh dalam insiden itu.
Kumpulan Hasm merupakan “dalang di sebalik penyediaan kenderaan” yang menyebabkan letupan itu, kata kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pihaknya mengenal pasti pemandu kereta berkenaan sebagai anggota kumpulan Hasm.
Pasukan keselamatan berjaya “mengesan lokasi kumpulan Hasm dan membunuh 17 anggota mereka, termasuk abang kepada pengebom berani mati berkenaan dalam operasi yang dilancarkan di Faiyum di selatan Kaherah, kata kementerian.
Namun masih tidak jelas mengenai penglibatan 17 individu berkenaan dengan insiden pada Ahad.
Sejak 2016, kumpulan Hasm mengaku bertanggungjawab dalam beberapa serangan terhadap anggota polis, pegawai dan hakim di Kaherah. – AFP, 9 Ogos, 2019.
Komen