DUA terbunuh dalam satu letupan di pangkalan tentera yang digunakan untuk ujian peluru berpandu di utara Rusia hari ini, menurut kenyataan kementerian pertahanan negara itu.
Pihak berkuasa di bandar Severodvinsk berkata tahap radiasi meningkat susulan letupan itu, tetapi kementerian berkata ia di tahap normal.
“Semasa ujian bahan dorong cecair enjin jet, berlaku letupan dan membakar peralatan.
“Susulan kemalangan itu, tiga pegawai kementerian pertahanan dan seorang pemaju cedera. Dua pakar maut akibat cedera parah,” kenyataan kementerian pertahanan dipetik.
Jurucakap pangkalan tentera di wilayah Arkhangelsk itu berkata tiada pencemaran radioaktif berlaku.
Kejadian adalah yang kedua dalam tempoh seminggu yang dialami tentera Rusia. Isnin lalu depot peluru di Siberia terbakar hingga menyebabkan letupan besar.
Sekurang-kurangnya seorang terbunuh manakala lapan orang cedera. Kebakaran depot di wilayah Krasnoyarsk itu menyebabkan beribu orang terpaksa dipindahkan dari rumah masing-masing. – AFP, 8 Ogos, 2019.
Komen