PAKATAN Harapan Selangor sepatutnya berasa malu kerana gagal membentangkan usul kerajaan sendiri walau mempunyai bilangan majoriti yang cukup selesa, kata PAS Selangor.
Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Yunus Hairi berkata kegagalan tersebut menunjukkan kerajaan negeri sangat lemah walaupun menguasai 50 daripada 56 kerusi DUN Selangor.
“Mereka mempunyai kerajaan yang cukup selesa. Tidak boleh bawa usul ke dewan adalah sesuatu perkara yang amat memalukan kerajaan.
“Apa kita hendak sebut mereka ini? Kerajaan lemah? Orang akan marah dekat saya tetapi hakikatnya begitulah,” katanya dalam satu sidang media di Shah Alam hari ini.
Usul untuk membenarkan penukaran agama secara sepihak itu tidak jadi dibentangkan di DUN Selangor baru-baru ini atas bantahan Adun bukan Islam dari blok Pakatan Harapan (PH).
DAP menegaskan bantahan ke atas cadangan itu kerana bertentangan dengan perlembagaan persekutuan yang menetapkan kebenaran kedua-dua ibu bapa dalam penukaran agama anak.
Menteri Besar Amirudin Shari dilaporkan tidak mendapat sokongan wakil rakyat tersebut sewaktu ia dibincangkan pada 26 Julai, sebelum dibentangkan.
Wakil rakyat tersebut mahu Amirudin merujuk dahulu pindaan tersebut kepada Peguam Negara Tommy Thomas sebelum dibentangkan.
Selain daripada itu, mereka juga mahu cadangan tersebut diperhalusi semula kerana ia akan memecahbelahkan Pakatan Harapan (PH) dan menimbulkan implikasi politik.
Speaker DUN Selangor dari DAP, Ng Suee Lim menyekat usul berkenaan dengan memendekkan tempoh persidangan kepada dua hari sahaja, pada 29 dan 31 Julai.
Mengulas lanjut, Dr Yunus menegaskan Umno dan PAS Selangor akan menyokong cadangan berkenaan kerana menurutnya memberi manfaat kepada agama Islam.
“Bawalah, bahaskan. Sokong atau tidak itu hak Adun. Pada kita, apa juga kebaikan berkaitan dengan hal ehwal Islam kita sokong,” ujarnya.
Beliau bercakap dalam sidang media seleas mesyuarat dengan pemimpin Umno Selangor di Shah Alam hari ini. – 8 Ogos, 2019.
Komen