BIARKAN mereka menyalak, kata penceramah kontroversi Dr Zakir Naik kepada pengkritik yang mahukannya keluar dari negara ini.
Pendakwah itu mendakwa dia mempunyai peminat dalam kalangan orang Islam dan bukan Islam malah orang bukan Islam juga menyukainya.
“Saya pergi ke klinik dan doktor itu tidak mahu ambil duit saya. Dia cakap bagaimana boleh saya ambil duit daripada Dr Zakir Naik.
“Doktor itu penganut agama Hindu. Begitu juga dengan orang Cina yang saya jumpa,” katanya dalam satu kuliah awam yang diadakan di Kelantan Trade Centre di Kota Bharu, Kelantan.
Beliau berkata, mereka yang menentangnya dan mahu dia keluar dari negara ini mempunyai agenda politik.
“Mereka golongan sekular dan munafik,” katanya.
Zakir bagaimanapun mengeaskan bahawa kebanyakan umat Islam dan bukan Islam suka kepadanya serta beliau akan meneruskan kerja dakwahnya.
Zakir menjawab soalan daripada seorang penonton yang kebanyakannya penjawat awam mengenai bagaimana beliau menangani tekanan daripada pengkritik yang mahukannya meninggalkan Malaysia.
Petisyen dimulakan pada 27 Mei tahun lalu menggesa agar Zakir dihantar pulang ke India dan telah berjaya mengumpul 35,556 tandatangan.
Satu lagi petisyen dibuat pada 30 April dengan mesej sama dan memperoleh 17,000 tandatangan. – 8 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen