Pesawat boleh kesan objek dari udara bantu cari remaja hilang


Alfian Z.M. Tahir

Remaja Britain Nora Quoirin yang bercuti bersama keluarganya di resort The Dusun Seremban, Negeri Sembilan didapati hilang sejak lima hari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2019.

SEBUAH pesawat yang boleh mengesan visual dari udara akan digunakan oleh polis dalam operasi mencari remaja Britain Nora Quoirin yang hilang sejak lima hari lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusof berkata, unit udara polis akan menggunakan pesawat jenis AS 355N dan peralatan jenis Wescam Air Survielence bagi membantu operasi mencari remaja hilang berkenaan. 

“Kami akan menggunakan pesawat itu malam ini dalam misi mencari dan menyelamat. Pesawat itu berkebolehan mengesan objek atau manusia dari ketinggian 1,500 kaki pada siang dan malam.

“Akan ada empat pegawai dari unit udara polis menyertai misi ini. Kami berharap dengan usaha ini akan membuahkan hasil positif,” katanya. 

Polis juga mendedahkan kepada media rakaman suara ibu Nora yang digunakan untuk membantu mencari remaja itu.

Dalam rakaman itu ibu Nora berkata, “Nora sayang, saya sayang kamu. Ibu ada di sini,”.

Setiap pasukan penyelamat akan menggunakan pembesar suara yang kuat dan akan memainkan rakaman suara ibu remaja berkenaan semasa menjejaki kawasan carian.  

Pagi ini polis berkata mereka akan menggunakan taktik berkenaan bagi mencari remaja 15 tahun setelah pencarian sebelum ini tidak berhasil.

Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Nor Marzukee Besar memberitahu media itu merupakan idea Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor.

“Kami akan merakam suara ibu remaja itu bagi memanggil Nora.

“Kami percaya apabila dia mendengar suara ibunya, remaja itu akan tertarik,” katanya. – 8 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini. 
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen