KABINET memutuskan tulisan khat jawi hanya akan diperkenal secara pilihan di sekolah vernakular, kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.
Pengenalan tulisan tersebut juga hanya dimuatkan dalam tiga halaman mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 dan tidak akan diuji dalam mana-mana peperiksaan, katanya dalam satu kenyataan.
“Jemaah menteri juga menetapkan supaya tulisan khat ini dilaksanakan secara pilihan dengan guru diberi kuasa mengenai kaedah pelaksanaannya di bilik darjah masing-masing.”
Menurutnya Kabinet semalam memutuskan untuk meneruskan pengenalan tulisan itu di sekolah vernakular dengan perubahan terbabit.
“(Khat) ada dalam buku teks. Terpulang kepada guru untuk menggunakan kreativiti mereka.
“Kita mahu tekankan bahawa Kabinet bersetuju pelajaran khat tidak dimasukkan dalam mana-mana peperiksaan,” katanya.
Maszlee juga berkata, khat hanyalah satu aktiviti dalam buku teks Bahasa Melayu tersebut dan ia merupakan pengenalan kepada jawi.
“Kita mahu didik pelajar mengenai warisan negara kita. Kita boleh lihat tulisan jawi di banyak tempat termasuk dalam not ringgit.
“Kita cuma mahu menggalakkan murid untuk belajar dan menghayati sejarah negara,” katanya dalam satu sidang media hari ini.
Penentangan ke atas pengenalan tulisan itu di sekolah vernakular ditentang negeri Sarawak yang mahu berhasrat untuk menggunakan ruang undang-undang untuk menyekat pengajarannya.
Pemimpin negeri Sabah pula membangkitkan mengenai kedaifan sekolah di pedalaman yang masih tidak mendapat perhatian berbanding khat.
Persatuan pendidikan Cina Dong Zong serta Yayasan Tamil Malaysia menolak pengajaran khat kepada murid Tahun 4 di sekolah vernakular.
Mereka menuntut agar dilibatkan dalam lebih banyak perbincangan sebelum langkah itu dilaksanakan. – 8 Ogos, 2019.
Komen