JABATAN Negara Amerika Syarikat pada Rabu meluluskan penjualan helikopter tentera bernilai US$800 juta kepada Korea Selatan, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan Pentagon.
Penjualan 12 unit helikopter pelbagai misi jenis MH-60R itu bagaimanapun perlu disemak oleh kongres sebelum dimuktamad.
Pesawat itu akan digunakan bagi meningkatkan keupayaan peperangan Tentera Laut Korea Selatan dari segi sistem anti-permukaan dan anti-kapal selam selain operasi mencari dan menyelamat, kata Agensi Kerjasama Keselamatan Pertahanan Pentagon dalam satu kenyataan.
“Republik Korea akan menggunakan keupayaan yang dipertingkat ini bagi mengekang ancaman serantau dan memperkukuh pertahanan tanah airnya,” menurut kenyataan itu.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Trump pada Rabu pagi berkata Seoul “bersetuju membayar wang yang banyak kepada kita,” sambil mengulangi kritikan beliau bahawa sekutu AS tidak mengambil inisiatif untuk bersama-sama memikul beban yang adil dalam kos pertahanan. – Bernama, 8 Ogos, 2019.
Komen