680 orang ditahan dalam serbuan imigresen AS 


Pemandangan pusat tahanan imigresen Amerika Syarikat di Los Angeles, California. – Gambar EPA, 8 Ogos, 2019.

SERBUAN imigresen di beberapa perniagaan Mississippi telah membawa kepada penahanan sejumlah 680 orang, yang dianggap sebagai tangkapan terbesar dalam serbuan tunggal ke tempat kerja dalam sejarah Amerika Syarikat, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa pada Rabu.

Ejen Penguatkuasaan Kastam dan Imigresen AS (Ice) membuat tangkapan itu dengan kerjasama Pejabat Peguam AS bagi Daerah Selatan Mississippi.

Mereka melaksanakan pelbagai waran jenayah persekutuan di tujuh lokasi di seluruh Mississippi sebagai sebahagian siasatan yang sedang berlangsung, menurut Jabatan Kehakiman dalam satu kenyataan.

Sebilangan tahanan yang tidak diketahui jumlahnya kini “dikenal pasti sebagai layak bagi alternatif penahanan berdasarkan alasan-alasan kemanusiaan,” menurut kenyataan itu.

“Pelaksanaan waran geledah persekutuan hari ini adalah bagi menguatkuasakan kedaulatan undang-undang di negeri ini dan di seluruh negara kita,” kata Peguam AS bagi Daerah Selatan Mississippi Mike Hurst dalam satu kenyataan. – Bernama, 8 Ogos, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen