WALAUPUN kritikan terbaru dilemparkan ASEAN dalam krisis pelarian Rohingya di Myanmar, Malaysia masih tidak berhasrat menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Pelarian.
“Kita tak bercadang nak tandatangan konvensyen pelarian, walaupun kita pernah terima pelarian Vietnam di Pulau Bidong dahulu,” kata Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi kepada wartawan hari ini.
Katanya, Malaysia sudahpun bekerjasama dengan organisasi pelarian antarabangsa.
Pulau Bidong pernah menjadi kawasan perlindungan kepada pelarian Vietnam antara 1978 hingga 1991.
Konvensyen Pelarian 1951 mendefiniskan makna “pelarian” dan menggariskan hak mereka selain tanggungjawab perundangan negara untuk melindungi mereka, kata UNHCR di laman sesawangnya.
Setakat ini, 145 negara sudah melibatkan diri dalam konvensyen itu.
“Kita bekerjasama dengan UNHCR (Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Pelarian) dan Organisasi Migrasi Antarabangsa (IOM).”
“Dasar kita berasaskan (prinsip) kemanusiaan,” kata Zahid lagi.
Keganasan terbaru yang berlaku di Myanmar disebabkan serangan pemberontak Rohingya ke atas sebuah pusat kawalan polis yang membunuh beberapa anggota keselamatan. Myanmar kemudiannya melancarkan serangan balas, mencetuskan konflik kemanusiaan terburuk Asia Tenggara kini sehingga menyebabkan lebih 500,000 Rohingya melarikan diri ke Bangladesh dan membunuh ribuan lagi etnik minoriti Negeri Rakhine itu.
Selaku salah sebuah ahli ASEAN, Myanmar menerima kritikan antarabangsa kerana krisis itu, walaupun organisasi serantau dalam kenyataan sebelum ini masih berlembut disebabkan dasar tidak masuk campur tangan urusan ahli yang diamalkan.
Bagaimanapun, minggu lepas, Menteri Luar Anifah Aman dalam kenyataan keras mengecam Pengerusi Asean sekarang, Filipina kerana kenyataan “tidak berasaskan konsensus ahli” dan menolak kenyataan organisasi itu menyifatkannya “salah tafsir dan gambaran realiti semasa”.
Tindakan itu menimbulkan kenyataan balas Myanmar yang menuduh Malaysia melanggar Piagam ASEAN tentang dasar tidak campur tangan dan menggunakan krisis itu untuk “mempromosikan agenda politik tertentu.”
Selain itu, Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut menggesa mereka yang berkuasa untuk lebih berani supaya dapat menyelesaikan krisis Rohingya Myanmar.
“Kita tidak boleh membenarkan perasaan bimbang menggangu jiran kita atau takut dituduh campur tangan atau khuatir menjejaskan perdagangan serantau daripada menghalang kita daripada menyuarakan kebimbangan dan perhatian berat terhadap yang berlaku di wilayah Rakhine,“ titah baginda. – 6 Oktober, 2017.
Komen