NAJIB Razak didakwa menjadi dalang di sebalik tuduhan gangguan seksual terhadap bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, mahkamah didengar hari ini.
Husni yang merupakan saksi pendakwaan ke-59 bagi kes SRC International Najib Razak berkata, beliau berdepan tuduhan rasuah dan serangan seksual selepas membangkitkan isu pengurusan 1Malaysia Development Berhad di Parlimen pada Oktober, 2016.
Husni, 67, turut mengesahkan laporan polis dibuat ketika pemeriksaan balas oleh peguam bela Muhammad Shafee Abdullah.
“Adakah kamu rasa Datuk Seri Najib di sebaik laporan gangguan seksual terhadap kamu oleh kakitangan wanita kamu sendiri?” soal Shafee, yang mana Husni menjawab, “Ya.”
Tambah saksi itu, beliau sangat “marah” dengan implikasinya.
Timbalan pendakwa raya ad hoc V Sithambaram kemudian membantah soalan Shafee dan berata ia sepatutnya memfokuskan kepada pertuduhan jenayah Najib.
Shafee membalas dengan mengatakan kredibiliti Husni perlu dipastikan kerana sebagai saksi mungkin didorong oleh dakwaan Najib di sebalik tuduhan gangguan seksual itu.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian memutuskan soalan Shafee itu bersifat skandal dan menghalang soalan seterusnya mengenai topik itu.
Husni yang dilantik oleh Najib ke kabinet pada 2009, meletakkan jawatab pada 27 Jun, 2016. Beliau juga merupakan ahli Parlimen Tambun selama lima penggal sehingga dikalahkan pada pilihan raya umum 9 Mei oleh Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu yang kini merupakan menteri besar Perak.
Pemeriksaan balas diteruskan dengan Shafee bertanya Husni mengenai peranan beliau sebagai menteri kewangan.
Pertuduhan dalam kes SRC International Najib adalah berkaitan pinjaman sebanyak RM4 bilion yang dikeluarkan kepada entiti pada 2011 dan 2014, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.
Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu berdepan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa. – 8 Ogos, 2019.
Komen