POLIS akan merakamkan suara ibu Nora Quoirin hari ini dan menggunakannya untuk memanggil remaja yang hilang di hutan Jeram Toi, Negeri Sembilan, sejak lima hari lalu.
Ia pendekatan baharu yang akan digunakan pasukan menyelamat, selepas lima hari mereka masuk ke hutan mencari remaja berusia 15 tahun itu.
Remaja dari Britain itu dikatakan kurang upaya dan polis berharap suara ibunya itu dapat menariknya keluar ke kawasan terbuka.
Ketua Polis Daerah Nilai Mohd Nor Marzukee Besar memberitahu media pagi ini idea itu diberikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor.
“Kami diarahkan oleh timbalan KPN untuk menemu bual ibu bapa remaja itu dan kami akan guna suara ibunya untuk mencarinya.
“Kami akan merakamkan suara ibunya untuk memanggil Nora keluar menggunakan perkataan dan nama yang biasa didengar remaja itu.
“Kami percaya bila dia dengar suara ibunya, dia akan bergerak ke arah itu,” katanya. – 8 Ogos, 2019.
Komen