3 maut, 7 cedera rusuhan di penjara Mozambique


TIGA terbunuh akibat ditembak dan tujuh lagi cedera selepas rusuhan tercetus pagi semalam di penjara terbesar di utara Mozambique, menurut pihak berkuasa.

Pengarah klinikal Hospital Besar Nampula Bainabo Sahal berkata 10 mangsa dibawa ke hospital, dengan tiga daripadanya sudah pun meninggal dunia.

“Di bilik mayat, kami terima tiga mayat, mangsa tembakan,” katanya kepada media.

Lima yang lain mengalami kecederaan parah, sementara dua pengawal penjara mengalami kecederaan kecil.

Menurut laporan media, pengawal penjara di Pusat Tahanan Nampula menggunakan api untuk mengawal rusuhan itu.

Punca rusuhan masih tidak diketahui dan pihak berkuasa penjara belum memberi komen.

“Banduan membakar beberapa pejabat di mana dokumen berkaitan kes jenayah mereka disimpan,” kata akhbar O Pais.

Mereka juga memecahkan tingkap di beberapa bahagian penjara dan melakukan vandalisme di dapur dan klinik.

Penjara itu menahan banduan dari seluruh utara Mozambique, termasuk sebahagian tertuduh kes serangan militan di wilayah majoriti Islam Cabo Delgado. – AFP, 8 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen