Mayat 2 remaja suspek kes bunuh di Kanada ditemui


Kam McLeod, 19, dan Bryer Schmegelsky,18, diburu kerana disyaki membunuh tiga mangsa termasuk sepasang kekasih warga Australia dan AS, serta seorang profesor biologi. – Gambar AFP, 8 Ogos, 2019.

POLIS Kanada berkata mereka menemui dua mayat lelaki dipercayai remaja yang sedang melarikan diri selepas didakwa membunuh tiga orang bulan lalu – mengakhiri pemburuan di seluruh negara selama tiga minggu.

Kam McLeod, 19, dan Bryer Schmegelsky, 18, dikehendaki dalam siasatan kes pembunuhan seorang warga Australia Lucas Fowler, 23, dan teman wanitanya dari Amerika Syarikat, Chynna Deese, 24, serta seorang profesor di universiti Kanada.

Mayat sepasang kekasih itu ditemui di lebuh raya di British Columbia pada 15 Julai dengan kesan tembakan.

Pada awalnya, dua remaja terbabit dilaporkan hilang selepas kereta mereka ditemui terbakar di British Columbia, tetapi polis kemudian menemui mayat ketiga, dan remaja berasal dari Vancouver itu dinamakan sebagai suspek.

“Pencarian di Manitoba berakhir,” kata Menteri Keselamatan Awam Ralph Goodale di Twitter, menolak sebarang keraguan yang pelarian berkenaan sudah ditemui.

Polis diraja Kanada berkata dua mayat itu ditemui di tengah hutan di wilayah Manitoba.

Minggu lalu, polis menemui beberapa barang yang dikaitkan dengan suspek di tepi Sungai Nelson. Mereka juga menemui bot aluminium yang rosak.

Mayat itu ditemui dalam kawasan kira-kira 1km dari tempat di mana barangan itu ditemui, dan 8km dari tempat kereta terbakar mereka ditemui pada 22 Julai.

“Pada masa ini, kami yakin mayat ini ialah dua suspek yang dikehendaki berhubung kes pembunuhan di British Columbia,” kata jurucakap Jane MacLatchy pada sidang media.

“Bedah siasat akan dilakukan di Winnipeg untuk mengesahkan identiti mereka dan punca kematian.” – AFP, 8 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen