BRITISH Airways (BA) terpaksa membatalkan kira-kira 100 penerbangan keluar dan masuk di London semalam selepas sistemnya tergendala.
Menurut laporan, sekurang-kurangnya 18,000 penumpang terkandas selepas perkhidmatan keluar dan masuk dari lapangan terbang Gatwick dan Heathrow dibatalkan.
Lebih 200 lagi penerbangan BA terpaksa ditangguhkan, menurut BBC.
BA bagaimanapun enggan mengesahkan jumlah perkhidmatan yang dibatalkan.
BA berkata masalah sistem menyebabkan beberapa perjalanan jarak dekat dibatalkan dan kelewatan dari lapangan terbang London.
Ia kemudian berkata isu itu sudah diselesaikan dan memohon maaf kepada semua penumpang yang terjejas.
“Pasukan kami bekerja keras memastikan kebanyakan penumpang dapat meneruskan perjalanan dengan kebanyakan pesawat kami berlepas.
“Penerbangan kami kembali normal, namun ada beberapa gangguan operasi akibat daripada masalah awal tadi,” katanya.
BA menawarkan penumpang yang membuat tempahan perjalanan semalam untuk penerbangan jarak dekat berlepas dari lapangan terbang Heathrow, Gatwick dan London, untuk menempah semula perjalanan antara hari ini hingga 13 Ogos.
Penumpang yang bengang meluahkan kemarahan mereka menerusi media sosial dan mendesak jawapan daripada BA, sementara ramai yang lain berkongsi gambar terminal lapangan terbang penuh dengan penumpang terkandas.
Ia insiden gangguan terbaru yang menjejaskan BA sejak beberapa tahun lalu.
Pada 2017, sistem yang tergendala di seluruh dunia mengakibatkan puluhan ribu penumpang terjejas, manakala pada 2018 serangan siber menyebabkan ratusan ribu data peribadi pelanggan dicuri. – AFP, 8 Ogos, 2019.
Komen