Pakistan usir duta India susulan ketegangan di Kashmir


Gabungan belia Kashmir membakar gambar Narendra Modi dan bendera India ketika protes susulan kawalan ketat dan penarikan balik kuasa autonomi khas di wilayah itu. – Gambar AFP, 8 Ogos, 2019.

PAKISTAN semalam mengumumkan ia mengusir pesuruhjaya tinggi India dan menangguhkan dagangan dua hala dengan negara jirannya yang mempunyai senjata nuklear, beberapa selepas New Delhi menarik balik autonomi khas wilayah Kashmir.

“Kami akan memanggil pulang duta kami dari Delhi dan menghantar pulang duta mereka,” kata Menteri Luar Shah Mehmood Qureshi dalam pengumuman itu.

Beliau berkata demikian susulan kerajaan mengeluarkan kenyataan mengisytiharkan Pakistan akan menangguhkan perdagangan dengan India.

Islamabad juga berjanji membawa perkara itu ke Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Keputusan kerajaan India pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi pada Isnin untuk mengetatkan kawalan di wilayah majoriti Muslim, Kashmir, mencetuskan konflik dengan Pakistan dan mencetuskan semula kebangkitan yang sudah pun menyebabkan ribuan nyawa terkorban.

New Delhi bertegas mengatakan langkah itu urusan dalaman negaranya.

Kashmir terpecah antara Pakistan dan India sejak kemerdekaan pada 1947.

Mereka berebut tuntutan terhadap wilayah Himalaya itu, dan dua kali berperang.

Perdana Menteri Pakistan Imran Khan pada Selasa berkata isu itu akan diperjuangkan di setiap forum dan mendesak masyarakat antarabangsa mengambil tindakan, menuduh Modi ada agenda anti Islam.

Tentera Pakistan turut berkata ia berdiri bersama warga Kashmir. – AFP, 8 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen