Zakir Naik ejek PM India selepas cubaan ekstradisi ketiga gagal lagi


Sheridan Mahavera

Pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik dari India menyampaikan ceramahnya dalam program pertamanya di Kota Baru, Kelantan malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 8 Ogos, 2019.

PENDAKWAH kontroversi Dr Zakir Naik mengejek Nahendra Modi dengan “mengucapkan terima kasih” kepada perdana menteri India itu kerana memaksanya tinggal di Malaysia, negara “yang lebih baik berbanding India”.

Penceramah terkenal berasal dari India itu berkata Modi menyebut namanya sembilan kali dalam tempoh dua minit ketika menyampaikan ucapan, sejurus selepas dipilih semula sebagai perdana menteri India pada April.

Zakir berkata kerajaan India sudah tiga kali tidak berjaya mengekstradisi dan mendakwanya atas kesalahan keganasan, mencetuskan kebencian dan pengubahan wang haram.

Semua cubaan itu gagal meyakinkan Interpol untuk mengeluarkan notis merah mengekstradisi Zakir dari Malaysia ke India.

Dalam ucapan terbuka kali pertamanya selepas berjaya mengelak cubaan India mengekstradisinya, Zakir “berterima kasih” kepada Modi kerana “membuatnya lebih gembira”.

“Saya berterima kasih pada Modi kerana saya semakin hampir pada kegembiraan sebenar. Kerana dia saya berada di Malaysia yang lebih baik daripada India,” kata Zakir di hadapan khalayak di Kelantan Trade Centre di Kota Baru, Kelantan. 

“Tidak pernah saya impikan untuk tinggal di Malaysia,” kata pendakwah itu yang menerima status penduduk tetap Malaysia.

Pada 22 Julai, Interpol menolak permintaan ketiga India untuk mengeluarkan notis merah terhadap Zakir, berkata permohonan itu tidak mematuhi peraturan agensi polis antarabangsa berkenaan.

Interpol mengeluarkan notis merah atas permintaan negara anggota. Notis merah tidak dianggap sebagai waran tangkap, tetapi berfungsi sebagai notis orang dikehendaki.

Pembantu pendakwah itu dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insight, berkata: “Interpol sekali lagi enggan mengeluarkan notis merah terhadap Zakir, kerana kekurangan bahan bukti dan bukti salah laku.”

Dalam satu kenyataan tidak lama selepas keengganan terbaru Interpol, Zakir berkata ia membuktikan pertuduhan India terhadapnya direka-reka dan palsu.

Zakir dalam lawatan tiga hari di Kota Baru di mana beliau dijadualkan berceramah di tiga program bersama pelajar, penjawat awam dan penduduk.

Kemuncak programnya ialah di stadium Sultan Muhammad IV di mana penganjur berkata ia akan dihadiri 10,000 orang.

Program pertamanya malam tadi diadakan di auditorium yang penuh sesak dengan ceramah bertajuk, “Quran – laluan kepada kebahagiaan” di depan hadirin kebanyakannya pelajar universiti. – 8 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen