Thailand komited sambung semula proses damai di selatan negara


Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha hari ini berkata mereka komited untuk menyambung semula proses damai di selatan Thailand bagi menamatkan konflik yang berlarutan selama beberapa dekad. – Gambar EPA, 7 Ogos, 2019.

THAILAND komited untuk menyambung semula proses damai di selatan Thailand bagi menamatkan konflik yang berlarutan selama beberapa dekad, kata Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan o-cha hari ini.

Beliau berkata kerajan baharu di bawah kepimpinannya akan meneruskan usaha damai dan “tiada perubahan’.

“Kami akan meneruskan penyelarasan dengan Malaysia.

“Rundingan damai telah menunjukkan beberapa kemajuan,” kata Prayuth merangkap Menteri Pertahanan pada sidang media semasa melawat Yala, di selatan Thailand hari ini.

Dialog damai telah tergendala sejak Februari susulan kekecewaan  panel dialog Majlis Syura Petani (Mara Patani) terhadap tindakan Jen Udomchai Thammasarorat yang enggan bertemu dengan panel rundingan Mara Patani di Kuala Lumpur.

Malaysia melantik bekas Ketua Polis Negara Abdul Rahim Noor sebagai fasilitator ke rundingan damai di selatan Thailand antara kerajaan Thailand dan Mara Patani, yang mewakili beberapa kumpulan di selatan Thailand.

Sementara itu, Prayuth mengulangi bahawa kerajaan tidak memutuskan sama ada untuk melantik ketua panel rundingan baharu atau mengekalkan Udomchai, yang dilantik sebagai senator baru-baru ini.

“Dia (Udomchai) masih (sebagai ketua panel perundingan kerajaan Thailand),” katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau mempunyai calon untuk menggantikan Udomchai, Prayuth berkata “ketua panel mestilah mempunyai kepakaran mengenai hal ehwal keselamatan”.

Bulan lepas, Mara Patani berkata proses damai untuk menamatkan konflik di selatan Thailand terhenti akibat kurangnya komitmen, keikhlasan dan keazaman politik yang kuat oleh kerajaan Thailand.

Jurucakapnya, Abu Hafez Al-Hakim menggesa pemimpin dan komuniti antarabangsa untuk membantu mencari penyelesaian politik bagi menamatkan keganasan di selatan Thailand.

Abu Hafez berkata pendekatan ketenteraan yang digunakan oleh kerajaan setakat ini gagal membendung insiden keganasan dan konfrontasi, malah permusuhan dan tindak balas oleh kumpulan-kumpulan pemisah semakin meningkat.

Semasa lawatan sulung ke Thailand Selatan selepas dilantik sebagai perdana menteri yang baharu pada Jun, Prayuth membuka Pusat Kerajaan Wilayah Selatan di Yala.

Beliau turut menghadiri taklimat mengenai pembangunan wilayah di samping menyampaikan ganjaran kepala pemimpin-pemimpin Islam wilayah serta menyerahkan bantuan kewangan kepada mangsa-mangsa konflik di selatan Thailand.

Beliau diiringi oleh Menteri Dalam Negeri Anupong Paojinda, Menteri pendidikan Nataphol Teepsuwan, Menteri Pertanian dan Koperasi Chalermchai Sri-on dan Timbalan Menteri Pertahanan Chaichan Changmongkol. – Bernama, 7 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen