SEORANG penerbit akhbar veteran Australia dijatuhi hukuman penjara 13 tahun di mahkamah Myanmar hari ini selepas polis menemui dadah di rumahnya tahun lepas.
Ross Dunkley, 60, terlibat dalam industri media di Asia Tenggara dan pengasas bersama akhbar berbahasa Inggeris The Myanmar Times ketika Myanmar diperintah tentera.
Dunkley juga bekas pemilik bersama Phnom Penh Post.
Pada Jun tahun lalu polis menahan Dunkley dan rakan kongsinya, John McKenzie bersama tujuh lagi warga Myanmar dalam satu serbuan di rumahnya di Yangon.
Polis menemui dadah termasuk methamphetamine, pil “yaba” dan heroin.
Seorang lelaki dan wanita yang bekerja sebagai pembantu rumah Dunkley dibebaskan tidak lama kemudian.
“Ross Dunkley dan John McKenzie dijatuhi hukuman penjara 13 tahun,” kata Hakim Myint Myint Maw ketika membacakan keputusan di Mahkamah Daerah Yangon Barat hari ini.
Dunkley enggan bercakap kepada wartawan ketika dibawa masuk ke mahkamah. – AFP, 7 Ogos, 2019.
Komen