SEKURANG-KURANGNYA 20 pemberontak Houthi terbunuh dalam pertempuran dengan tentera kerajaan di selatan Yaman, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pasukan keselamatan itu hari ini.
Laman sesawang rasmi tentera September Net menyebut keganasan itu berlaku di wilayah Dhale pada Selasa apabila pemberontak Houthi cuba menyerang kubu tentera di daerah Maris, yang terletak di barat Dhale.
Pasukan tentera berjaya menghalau pemberontak Houthi dan membunuh 20 daripada mereka serta mencederakan 30 yang lain.
Tiada maklumat mengenai kemalangan jiwa berlaku di pihak pasukan tentera kerajaan.
Kumpulan Houthi belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan tentera itu. – Bernama, 7 Ogos, 2019.
Komen