KERAJAAN Venezuela mengutuk percubaan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya untuk memaksa perubahan tidak berperlembagaan di negara itu menerusi sekatan ekonomi diperluas terkini yang dikenakan Washington ke atas republik Bolivarian tersebut.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dari Caracas, Venezuela mengutuk keputusan terkini AS itu dan menyifatkannya sebagai “pelanggaran yang serius” terhadap rakyat Venezuela.
“Dengan tindakan campur tangan yang diperbaharuinya, adalah jelas bahawa Amerika Syarikat dan sekutunya komited untuk menggagalkan dialog politik di Venezuela. Mereka takut akan hasil dan manfaatnya.
“Dalam soal ini, Kerajaan Bolivarian Venezuela tidak akan membiarkan peningkatan pelanggaran berat sebelah ini menjejaskan dialog politik dalam negara ini, dan mengesahkan kesediaannya untuk mencapai persetujuan nasional dalam dimensi berbeza, untuk terus memperkukuh demokrasi kami dan menjamin hak rakyat untuk hidup dalam suasana aman,” katanya.
Kenyataan itu telah dihantar kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama oleh Kedutaan Venezuela di Kuala Lumpur pada Rabu.
Pada Isnin, pentadbiran Presiden Donald Trump telah mengeluarkan satu Perintah Eksekutif tambahan untuk membekukan serta menyekat pemindahan semua harta dan aset kerajaan Venezuela di AS dan melarang rakyat Amerika berurus niaga dengan Venezuela. – Bernama, 7 Ogos, 2019.
Komen