WARTAWAN Palestin yang membuat liputan tunjuk perasaan mingguan terhadap pendudukan Israel selama berdekad-dekad kini mengadu menjadi sasaran penembak tepat rejim yang ditempatkan di sepanjang sempadan wilayah yang dikepung itu, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyatan sebuah persatuan wartawan.
Sejak tunjuk perasaan bermula pada Mac tahun lepas, dua wartawan telah ditembak mati manakala berpuluh-puluh lagi cedera akibat tembakan tentera rejim berhampiran zon penampan Gaza-Israel.
Minggu lepas, dua wartawan cedera ditembak semasa membuat liputan tunjuk perasaan itu, menurut Jawatankuasa Sokongan Wartawan (JSC) di Palestin.
Osama Al-Kahlout, seorang wartawan foto, telah ditembak di bahagian kaki dengan peluru hidup manakala Hatem Omar, yang bertugas dengan agensi berita China Xinhua, cedera selepas ditembak peluru getah.
“Tiada siapa yang memiliki kekebalan di sepanjang sempadan Gaza,” kata Al-Kahlout, 33, yang ditembak di timur kem pelarian al-Bureij di pusat bandar Semenanjung Gaza.
“Pasukan Israel telah menyasarkan wartawan, paramedik, orang awam malah orang kurang upaya. Semua orang menjadi sasaran penembak tepat rejim Israel,” katanya.
Al-Kahlout berkata beliau menerima satu panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali sebelum ditembak.
Wartawan foto itu percaya bahawa “panggilan itu adalah daripada tentera Israel bagi membolehkan lokasi beliau diketahui dengan tepat dan disasarkan secara langsung.” – Bernama, 7 Ogos, 2019.
Komen