WALAUPUN kehilangan Nora Quoirin diklasifikasikan sebagai laporan orang hilang, polis berkata mereka juga melihat kemungkinan lain termasuk penculikan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Negeri Sembilan Che Zakaria Othman memberitahu media bahawa pengelasan “orang hilang” hanyalah sebagai klasifikasi laporan itu.
“Tetapi tidak bermakna kita tidak melihat kemungkinan yang lain.
“Kami melihat setiap sudut dan anggota saya berada di mana-mana, bukan hanya di resort tetapi di jalanan.
“Kami tidak memutuskan apa-apa kemungkinan buat masa ini, tidak ada bukti penculikan,” katanya.
Che Zakaria bertindak balas terhadap laporan media asing sebelum ini bahawa keluarga Quoirin kecewa dengan polis kerana tidak mengendalikan kehilangan anak mereka sebagai kes penculikan.
Satu lagi sumber polis memberitahu The Malaysian Insight, pihak berkuasa juga telah meminta bantuan seorang ketua Orang Asli dan ustaz untuk membantu mencari remaja itu.
Penduduk di Jeram Toi di mana lokasi remaja itu hilang berkata, kawasan itu agak “berhantu” walaupun tidak ada bukti tentang perkara itu.
Quoirin tiba di Malaysia bersama keluarga pada Sabtu lalu untuk lawatan dua minggu.
Keluarga itu, terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak mereka mendaftar masuk ke The Dusun Seremban pada jam 7 pagi hari Sabtu. Polis kemudian menerima laporan orang hilang pada jam 11 pagi hari Ahad.
Keluarganya dipercayai masih berada di resort itu yang kini menjadi pusat kawalan operasi. Orang awam tidak lagi dibenarkan masuk ke kawasan itu.
Seramai 214 mengambil bahagian dalam misi menyelamat hari ini termasuk penggunaan dron dan dua anjing K9 dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Misi mencari dan menyelamat memasuki hari keempat hari ini meliputi kawasan seluas 25 ekar. Usaha yang dibuat masih belum menemui sebarang petunjuk. – 7 Ogos, 2019.
Komen