KETUA Menteri Sabah, Mohd Shafie Apdal hari ini menjadikan dua kes sebagai contoh yang menunjukkan kurangnya rundingan Putrajaya dengan kerajaan negeri ketika membuat dasar.
Beliau menyentuh pelantikan naib canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) baharu dan pelaksanaan cukai berlepas yang dikenakan kepada penumpang pengangkutan udara.
Shafie berkata sudah memberi pandangannya secara langsung kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengenai pelantikan Prof Dr Taufiq Yap Yun Hin sebagai naib canselor UMS baharu bagi menggantikan D Kamaruddin Mudin yang tempohnya dipendekkan setahun.
Shafie berkata tindakan menteri meneruskan penggantian itu menimbulkan rasa kurang senang dan seterusnya mendorong peletakan jawatan Pengerusi Lembaga Pengarah UMS KY Mustapha.
“Saya tahu ia adalah hak menteri untuk melantik naib canselor baharu, tetapi harus ada rundingan terlebih dahulu.
“Sebenarnya, kami sudah memberikan pandangan dan mencadangkan beberapa nama untuk naib canselor baharu, tetapi Maszlee memutuskan untuk membuat keputusan itu sendiri,” kata Shafie kepada pemberita selepas sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
Shafie berkata beliau bercakap dengan Maszlee semasa majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.
Beliau berkata adalah elok sekiranya Maszlee berunding dengannya kerana Sabah mempunyai kementerian pendidikan negeri sendiri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal pendidikan negeri.
Mengenai keputusan Putrajaya mengenakan levi berlepas kepada penumpang pengangkutan udara, Shafie berkata ia tidak memberi manfaat kepada Sabah.
“Demi kepentingan sektor pelancongan, kita tidak perlu mengenakan lebih banyak cukai. Pelancongan merupakan penyumbang utama kepada pendapatan Sabah, serta negara.
“Industri perkhidmatan kami juga berfungsi dengan baik tetapi kami tidak mahu menjejaskannya dengan mengenakan halangan tertentu, levi yang keterlaluan sehingga anda membunuh industri itu, ia tidak bagus,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew juga menyatakan kekecewaannya dengan Putrajaya melaksanakan dasarnya tanpa terlebih dahulu merujuk kerajaan Sabah.
Beliau menyatakan ketidakpuasan hatinya terhadap pelantikan naib canselor UMS yang baharu, levi berlepas dan pengenalan khat di sekolah vernakular tahun depan. – 7 Ogos, 2019.
Komen