POLIS yakin remaja Britain yang hilang Nora Quoirin masih berada berhampiran resort The Dusun di Seremban, Negeri Sembilan walaupun usaha mencari selepas empat hari masih belum menemukan sebarang petunjuk.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan Che Zakaria Othman berkata Nora yang merupakan remaja istimewa itu tidak boleh pergi jauh ke dalam hutan berikutan keadaannya.
Bagaimanapun Pasukan Gerakan Am Senoi Praaq berkata, kehilangan remaja 15 tahun itu menimbulkan tanda tanya kerana tidak ada jejak gadis itu keluar dari resort berkenaan.
Sumber dari unit itu memberitahu The Malaysian Insight bahawa kawasan itu gelap di waktu malam dan tiada siapa dapat berjalan kaki walaupun 10 kaki dari resort tanpa meninggalkan apa-apa kesan.
“Pada waktu malam, kawasan di situ terlalu gelap dan kita tak akan dapat melihat apa-apa walaupun tiga meter dari resort.
“Kawasan itu tidak sekata dan sekiranya remaja itu jatuh pasti ada tinggalkan kesan.
“Apa yang pelik kerana remaja itu tak tinggalkan sebarang jejak seolah-olah dia berjalan di laluan biasa. Tidak ada jejak ditinggalkan,” kata seorang anggota dari pasukan elit itu.
Che Zakaria berkata pihak polis telah mengambil beberapa cap jari dari unit tempat ahli keluarga itu menginap tetapi enggan mengulas lanjut.
Bagaimanapun beliau berkata pihak berkuasa percaya Quoirin masih berada di situ dan belum meninggalkan kawasan berkenaan.
“Dia masih berada di kawasan ini. Kami yakin.
“Kami faham perasaan ahli keluarganya. Emosi bercampur gaul lebih-lebih Nora adalah anak istimewa. Tapi kami akan lakukan yang terbaik untuk mengesannya,” katanya. – 7 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini.
Komen