Pecah arak Jamal bukan perhimpunan haram, kata peguam


Nabihah Hamid

Jamal Md Yunos dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk perintah reman jam 11 pagi ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Oktober, 2017.

PEGUAM mewakili Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Jamal Md Yunos hari ini mengatakan kejadian pecah botol arak semalam yang dilakukan di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) bukan perhimpunan haram.

“Kita tegas mengatakan bahawa apa yang berlaku di (bangunan) SUK bukanlah himpunan haram kerana ia merupakan jemputan sidang media.

“Tidak ada sebarang perarakan, tidak ada perhimpunan. Tiada provokasi dari peserta. Yang tujuh lain ditangkap bersama Jamal bukan peserta tetapi mereka adalah pemandu dan pengawal peribadi Jamal,” katanya.

Jamal dan tujuh yang lain ditahan awal pagi tadi kerana terlibat dalam protes pecah arak di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Kesemua mereka sudah dibawa ke Mahkamah Shah Alam pagi ini untuk diperintah reman.

“Jamal Yunos bersama tujuh lagi yang lain telah dibawa ke Mahkamah Shah Alam untuk mendapatkan perintah reman jam 11 pagi nanti. Kesemua mereka di siasat di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan,”

Protes Jamal semalam ditujukan kepada kerajaan Selangor selepas Menteri Besar Mohamed Azmin Ali mengatakan negeri itu akan membenarkan festival arak itu sekiranya penganjur mematuhi peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Jamal yang juga ketua Kumpulan Baju Merah berkata acara melibatkan alkohol adalah tidak bermoral dan merosakkan orang muda. – 6 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen