PARA penyiasat persekutuan pada Selasa berkata mereka akan memulakan siasatan keganasan domestik dalam kes tembakan rambang secara besar-besaran di pesta bawang putih di Gilroy, California bulan lepas yang meragut tiga nyawa, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, lapor agensi berita Turki Anadolu.
Ejen Khas FBI yang bertanggungjawab, John Bennett, memaklumkan pemberita meskipun mereka belum mengenal pasti sepenuhnya motif penembak, “kami sudah menemui bukti sepanjang siasatan kami yang penembak mengkaji ideologi ganas.”
Polis mengenal pasti suspek serangan 28 Julai itu sebagai Santino William Legan, 19, cucu lelaki bekas penyelia Santa Clara County, Tom Legan.
Beliau bersenjatakan raifal separa automatik SKS AK-47 dan memakai ves kalis peluru ketika melepaskan tembakan rambang di pesta itu.
Polis turut menemui satu “senarai sasaran” yang membabitkan satu pesta makanan sebagai tambahan kepada sasaran lain yang berpotensi iaitu institusi keagamaan, bangunan mahkamah dan pertubuhan politik daripada parti-parti utama, kata Bennet.
Legan terbunuh ketika berbalas tembakan dengan polis namun laporan koroner yang dikeluarkan Jumaat lepas adalah bercanggah dengan kenyataan polis bahawa beliau terkena peluru yang dilepaskan pasukan keselamatan, sebaliknya suspek mungkin maut selepas menembak dirinya sendiri selepas bertempur dengan polis.
Insiden di California itu disusuli satu lagi kes yang lebih tragik pada hujung minggu berikutnya apabila seorang lelaki melepaskan tembakan rambang di El Paso, Texas dan Dayton, Ohio.
Pihak berkuasa mengkategorikan kes tembakan di El Paso sebagai keganasan domestik.
Motif insiden tembakan di Ohio masih belum diketahui namun FBI pada Selasa berkata suspek dalam kes itu yang berjaya ditumpaskan dan dikenal pasti sebagai Connor Betts, 24, yang juga “mengkaji ideologi ganas.” – Bernama, 7 Ogos, 2019.
Komen