PEMBUAT dasar tidak perlu tunduk kepada kumpulan pelampau agama dan kaum jika serius mahu membina negara, kata bekas menteri Rafidah Aziz.
“Ini bukan cara tadbir negara. Tidak boleh tadbir negara dengan penuhi kehendak kumpulan yang menggunakan isu agama dan kaum.
“Selagi kita penuhi kehendak kumpulan yang mempunyai motif tersebunyi bukan untuk pembangunan negara tetapi demi kumpulan tertentu, negara ini tidak akan menjadi sebuah negara untuk semua rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada forum ekonomi di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya hari ini.
Pada forum mengenai faktor-faktor yang menyekat perkembangan ekonomi Malaysia dan cara mengatasinya itu Rafidah bercakap tentang “prinsip 20%” yang dipegangnya selama ini.
“Jika 20% menyusahkan, tidak mengapa kerana itu boleh diperbaiki daripada cuba memuaskan hati semua orang dan akibatnya seluruh negara binasa.
“Paling teruk ialah hanya cuba memuaskan hati golongan 20% ini. Apabila ahli politik mula buat begini, maka ketika itulah bermulanya masalah,” kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri yang kini pengerusi AirAsia X.
Menurutnya, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump telah menujukkan bagaimana kemegahan memecahbelahkan negara.
“Apabila anda ada pemikiran seperti ini, anda akan mula membuat dasar yang bukan untuk negara tetapi untuk sekumpulan kecil orang. Seperti (Donald) Trump, yang bercakap tentang dasarnya dan lupa yang dia adalah presiden negara AS.
“Fenomena ini berlaku di mana-mana. Siapa yang tidak mengikut, mereka akan dapati mereka terkeluar dari sistem. Tetapi lebih baik berada di luar sistem daripada termasuk dalam geng kleptokrasi,” katanya. – 7 Ogos, 2019.
Komen