MAHKAMAH Persekutuan hari ini menolak rayuan Najib Razak menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai ketua pendakwa dalam perbicaraan 1Malaysian Development Bhd (1MDB) yang melibatkan bekas perdana menteri itu.
Panel tujuh anggota yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, sebulat suara juga mendapati surat perlantikan Sri Ram tidak diklasifikasikan secara teknikal di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Oleh itu, panel memerintahkan pihak pendakwa memfailkan surat pelantikan di mahkamah.
Panel juga memutuskan kes berkenaan berbeza daripada kes lain yang melibatkan seorang lagi peguam, Sulaiman Abdullah, yang terbabit dalam kes SRC International.
Turut hadir dalam panel hari ini ialah Ketua Hakim Sabah dan Sarawak David Wong Dak Wah, Azahar Mohamed, Idrus Harun, Mohd Zawawi Salleh, Rohana Yusuf dan Abang Iskandar Abang Hashim.
Najib yang memakai baju biru duduk tanpa sebarang ekspresi ketika penghakiman secara lisan dibacakan di mahkamah.
Ketua peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah memberitahu pemberita yang pihaknya mungkin memfailkan rayuan lain berdasarkan kandungan surat pelantikan Sri Ram.
Pada 1 Mac, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib - mempertahankan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mei.
Panel tiga anggota yang dipimpin oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Zabariah Mohd Yusof kemudian, sebulat suara memutuskan penglibatan Sri Ram yang dikatakan terbabit dalam siasatan 1MDB tidak akan menjejaskan hak Najib mendapat perbicaraan yang adil.
Sri Ram, 75, bekas hakim Mahkamah Persekutuan diumumkan sebagai ketua pendakwa pada 31 Ogos tahun lepas oleh Peguam Negara Tommy Thomas.
Dalam satu kenyataan pada 22 Februari tahun ini, Thomas berkata mengikut hak istimewa, Najib sebagai seorang litigan tidak mempunyai hak di bawah undang-undang Malaysia untuk melihat surat pelantikan Sri Ram.
“Kerajaan berhak mendapat bakat undang-undang terbaik di negara ini dan bakat undang-undang terbaik mungkin tidak terhad kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya. – 7 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini
Komen