SENI khat wajar dijadikan mata pelajaran elektif kerana pelajar sudah sedia terbeban dengan pelbagai mata pelajaran lain, kata Rafidah Aziz.
“Jangan jadikan seolah-olah kita paksa awak belajar khat. Ia perkara tak berapa bijak. Ada benda lain lagi yang perlu dipelajari,” katanya.
“Khat bukan keperluan. Jika ia elektif, saya mengalu-alukan kerana ia tiada kaitan dengan bahasa.
“Jangan jadikan ia sebahagian daripada kurikulum. Ini bukan masanya untuk tambah kurikulum kerana pelajar sudah terbeban. Biar ia jadi elektif,” kata bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri selepas hadir di sebuah forum anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Beliau menyampaikan ucap tama di forum “Factors Impeding Malaysia’s Economic Progress and How To Overcome Them”, sebahagian daripada Siri Wacana Perdana yayasan itu.
Tambahnya lagi, khat hanyalah seni dan bukannya bahasa.
“Jika ia elektif, eloklah kerana memang ada orang yang sukakan seni halus. Tetapi jangan wajibkan dan bebankan orang,” jelasnya.
Beliau juga memberitahu wartawan, pandangannya itu sudah disampaikan kepada Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik tetapi enggan mengulas lanjut mengenainya. – 7 Ogos, 2019.
MENYUSUL
Komen