Hartawan diburu sejak 2015 kerana bunuh isteri ditangkap


SEORANG hartawan kelahiran British yang melarikan diri sejak lebih empat tahun lalu ditahan di Mexico dan akan diekstradisi ke AS untuk didakwa kerana membunuh isterinya di rumah mereka di California.

Peter Chadwick, 55, warganegara AS, dikesan berhampiran Bandar Mexico selepas pihak berkuasa mendapat petunjuk hasil ganjaran ditawarkan sebanyak AS$100,000, kata polis dalam satu kenyataan semalam.

“Hari yang sangat manis. Kami menahan seorang buruan tersenarai dalam America’s Most Wanted List,” kata Peguam Daerah Orange County Todd Spitzer, menambah: Jangan lupa kepedihan yang wujud- tentang mangsa, seorang isteri selama 21 tahun, ibu kepada dua anak.”

Pada 2012, Chadwick menelefon polis mendakwa seorang tukang baiki rumah membunuh isterinya Quee Choo Lim sebelum menahannya.

Chadwick kemudian mendakwa pembunuh memaksanya memandu ke Mexico untuk membuang mayat mangsa.

Tetapi, pegawai polis yang menahan Chadwick beberapa batu dari utara sempadan mengesan tanda cakaran di lehernya dan kesan darah di bawah kukunya.

Mereka menemui tempat jenayah berlaku di rumah pasangan itu dan suspek membawa mereka ke tempat pembuangan sampah berhampiran San Diego, California, di mana dia menyembunyikan mayat itu.

Dia didakwa mencekik isterinya kerana pertikaian isu kewangan dalam proses penceraian.

Chadwick yang kaya kerana hartanah, dibebaskan pada Disember 2012 dengan ikat jamin AS$1 juta dan menyerahkan pasport AS dan Britishnya.

Tetapi pada 2015, dia melarikan diri, mengambil inspirasi daripada buku menjelaskan cara mengubah identiti dan hidup dalam buruan.

Dia memperdaya polis dengan meninggalkan pelbagai petunjuk seolah-olah dia lari ke Kanada, kata Marshal AS David Singer.

Selepas notis ganjaran AS$100,000 ditawarkan, satu petunjuk berjaya mengesan Chadwick di Mexico, tempat tinggalnya selepas melarikan diri, kata Singer.

Chadwick mempunyai dokumen pengenalan palsu dan tinggal di apartment besar di Puebla, sebuah bandar berhampiran Bandar Mexico dipenuhi warga AS.

Prosiding pra bicara akan bermula hari ini. Jika sabit bersalah, Chadwick boleh dihukum penjara seumur hidup. – AFP, 7 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen