MAHKAMAH tertinggi Brazil semalam menolak permohonan ekstradisi seorang warga Turki yang dituduh Ankara atas kesalahan keganasan, mendakwa lelaki itu tidak dijamin mendapat perbicaraan adil.
Keputusan sebulat suara dikeluarkan Mahkamah Agung Persekutuan itu bermaksud Ali Sipahi boleh terus tinggal di negara itu, tempat dia bertapak sejak 12 tahun lalu.
Sipahi berdepan dakwaan di Turki kerana dituduh menjadi ahli organisasi yang dianggap pengganas yang mendalangi rampasan kuasa digagalkan Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Julai 2016.
Warganegara Turki dan Brazil itu pada mulanya ditahan dalam penjara sebelum dibebaskan Mei lalu sementara menunggu hukuman mahkamah.
Sipahi yang memiliki sebuah restoran di Sao Paulo, sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak terlibat dalam Pusat Kebudayaan Brazil-Turki dan Dewan Perniagaan Brazil Turki, yang dikaitkan dengan pergerakan Hizmet dinaungi Gulen.
Beliau jadi sasaran kerana memasukkan wang ke dalam Bank Asya, bank Turki yang dikaitkan dengan Gulen, kata peguamnya sebelum ini.
Gulen yang kini tinggal dalam buangan di Amerika Syarikat dituduh mengarahkan cubaan rampasan kuasa Erdogan, tuduhan yang dinafikannya.
Ankara menyifatkan Hizmet sebagai organisasi pengganas, tetapi pengikutnya bertegas mereka hanyalah organisasi moderat mempromosi Islam dan pendidikan.
Ribuan orang sudah ditahan di Turki dalam operasi selepas rampasan itu gagal dan pihak berkuasa membawa balik ramai suspek dari negara luar seperti Ukraine dan Kosovo menerusi operasi rahsia. – AFP, 7 Ogos, 2019.
Komen