TONI Morrison, wanita kulit hitam Amerika pertama yang menang Hadiah Nobel Sastera dan salah seorang penulis paling disayangi negara itu meninggal dunia, kata keluarganya semalam. Beliau berusia 88 tahun.
Barrack Obama- yang menganugerahkan Pingat Kebebasan Presiden kepada Morrison- mengetuai ucapan takziah, menyifatkannya sebagai “khazanah negara, pencerita yang hebat, dan seperti tulisannya, dirinya menakjubkan.”
“Karyanya indah, cabaran bermakna kepada kesedaran kita dan imiginasi moral kita. Hadiah paling berharga untuk bernafas bersamanya, walaupun hanya untuk seketika,” tulis bekas presiden AS itu di Twitter.
Morrison menghasilkan 11 buah novel, kebanyakannya menyentuh kehidupan masyarakat kulit hitam Amerika, dikagumi ramai dan mendapat pelbagai pengiktirafan sastera dalam kerjaya lebih enam dekad.
Beliau juga menghasilkan pelbagai esei, puisi dan ucapan dan sering dianggap sebagai “kesedaran” Amerika kerana menyentuh isu kaum dan hak asasi, serta tidak pernah gentar terlibat dalam isu politik semasa.
Morrison menang Anugerah Pulitzer dan Anugerah Buku Amerika pada 1988 untuk karya 1987 bertajuk “Beloved”. Berlatar belakangkan Perang Saudara Amerika 1860-an, kisah itu berkisar kepada seorang hamba yang melarikan diri dari Kentucky ke Ohio.
Karya itu kemudiannya diadaptasi ke filem dibintangi Danny Glover dan Oprah Winfrey.
Morrison mendapat pelbagai anugerah termasuklah Hadiah Nobel Sastera pada 1993.
Morrison yang dilahirkan dengan nama Chloe Anthony Wofford pada 18 Februari 1931 di Ohio. “The Bluest Eye”, novel pertamanya diterbitkan pada 1970 ketika beliau hampir mencecah 40 tahun.
Menyusul kemudian “Sula” pada 1973, dan sembilan karya lain termasuklah “Song of Solomon” pada 1977 yang menang Anugerah Pengkritik Buku Nasional.
Morrison juga pernah bekerja sebagai pengarang di Random House, wanita kulit hitam pertama menjawat kerja itu, dan mengajar penulisan kreatif bertahun lamanya termasuklah di Universiti Princeton.
Hidupnya dilanda pelbagai musibah. Pada 2010, anak lelakinya, Slade meninggal dunia kerana kanser pankreas ketika berusia 45 tahun. – AFP, 7 Ogos, 2019.
Komen