Kisah bekas 'lantikan politik' yang kini jual buku sara keluarga


Zainal Rashid Ahmad


APA nasib 17 ribu pekerja lantikan politik yang diberhentikan sebaik saja kerajaan Pakatan Harapan berkuasa? Tentulah banyak kisahnya. Sebanyak jumlahnya.

Pada satu keadaan, kita melihat logik tindakan ini dalam konteks keperluan politik. Walaupun nampak keterlaluan dalam skop kemanusiaan. Namun, akhirnya kita menerima hakikat “winner takes all”. Itulah realiti politik.

Sama ada tindakan ini sengaja dibuat dan bersifat untuk membersihkan agensi kerajaan daripada diduduki sel-sel pro Barisan Nasional, atau bersifat penjimatan kos operasi kerajaan - biarlah takdir yang bercakap.

Takdir ialah suara senyap yang lebih tahu. Sekiranya kita merujuk pada suara-suara bising yang menjerit dan berteriak - kita jadi bingung.

Ketika 17 ribu pekerja ini ditamatkan kontrak, yang menyokong dan yang menentang, suara politiknya jelas lantang.

Cuma sekarang, semua suara itu sudah basi. Seperti biasa, ahli politik hanya berminat bersuara ketika berkesempatan “menunggang isu”.

Bertemu penjual buku mantan ops 17 ribu

Di Bazar Buku Street Mall, Bangi tersimpan kisah seorang antara 17 ribu penjawat kontrak kehilangan kerja akibat sentimen lantikan politik. Julai lalu genap setahun dia kehilangan pendapatan bulanan sebagai penjawat awam.

Walaupun selama dua dekad bekerja, dan berkhidmat di dua agensi utama kerajaan - dirinya kekal penjawat kontrak.

Che Mohamad antara sembilan peniaga buku terpakai di Bazar Buku Street Mall. Dia memiliki lot kecil yang hanya muat sebuah meja kopi. Di situ tersusun puluhan buku ilmiah, majalah dan komik lama.

“Kami mula berniaga di tapak ini sejak bulan lalu. Cuma sebulan sekali. Tapi saya ada kedai kecil di Street Mall, 30 meter dari foyer ini,” katanya.

Che Mohamad berkhidmat selama 20 tahun sebagai pegawai kontrak. Mulai 1998 hingga 2010 di Biro Tata Negara (BTN) dan 2010 hingga 2018 di Majlis Keselamatan Negara (MKN)

“Dua belas tahun tugas saya sebagai penyelidik di BTN dan kemudian tahun 2010 dipindahkan ke tugas yang sama di MKN. Lepas BN tewas, khidmat ditamatkan. Sebab jawatan penyelidik dianggap lantikan politik,” kata Che Mohamad.

Saya mendengarnya dan tidak terkejut. Nama BTN dan MKN memang sasaran utama kerajaan PH. BTN dianggap unit perang saraf yang menyemarakkan politik perkauman.

Manakala, MKN mungkin dibersihkan dengan menamatkan khidmat penjawat lantikan politik yang dianggap sisa kakasan kerajaan lama.

“Sukar juga hidup jadinya. Anak kandas di universiti dan terpaksa berhenti kerana saya tidak mampu membayar yuran pengajian dan penginapan,” cerita Che Mohamad.

“Macam mana mula terfikir nak jual buku?” Tanya saya.

“Hilang kerja dalam sekelip mata setelah 20 tahun berkhidmat dengan kerajaan memang mengejutkan. Tak tau apa nak buat. Cuma, sejak muda saya rajin membeli dan mengumpul buku,” katanya.

Tanpa pendapatan tetap bulanan serta usia sudah melangkau 50 tahun, Che Mohamad sukar mencari kerja baharu. Apa lagi dengan trade mark tanggapan sebagai bekas kakasan BN.

Keadaan hidup menyara keluarga semakin mendesak akibat beban kewangan. Pekerja lantikan politik diberhentikan dengan notis pendek tanpa pampasan.

Semua berlaku dalam tempoh sebulan. Kehidupan keluarga mendadak terjejas dan anak-anak yang sedang belajar paling terkesan.

Namun, sebagai bapa kepada enam anak yang masih belajar di universiti dan sekolah, Che Mohamad tidak mengalah. Walaupun anak sulung terpaksa berhenti belajar di universiti swasta, dia tetap berjuang meneruskan kelangsungan hidup keluarganya

Meniaga buku di Facebook

“Apabila ternampak orang jual buku terpakai di pasar karat, terus saja datang idea. Saya teringat buku-buku melambak di rumah dan boleh menjana pendapatan. Jadi saya pilih menjual buku saja. Nak meniaga benda lain, memang tak ada modal,” katanya.

Selepas menganggur pada Julai tahun lalu, mulai Ogos Che Mohamad mula menjual buku. Fokusnya hanya di Facebook. Bisnesnya agak baik kerana koleksi bukunya pelbagai.

“Saya mula-mula fokus pada buku ilmiah dan kajian strategik yang banyak saya perolehi kerana dua dekad bekerja sebagai penyelidik. Walaupun bukan buku popular, namun di Facebook, ada permintaan spesifik pembaca,” katanya.

Pada hari pertama selepas memuat naik beberapa foto buku-buku dalam simpanannya dalam Facebook, pembeli terus muncul. Malah, ada yang meminta dimuat naik koleksi yang lain dalam pemilikannya.

“Respon baik di Facebook menyebabkan saya berasa lega. Ada sumber rezeki ketika pekerjaan sudah tiada. Saya terus menjual buku-buku dalam simpanan. Saya terus aktif memuat naik foto buku-buku yang ada. Dapatlah jual. Purata pendapatan dalam RM2 ribu sebulan,” katanya.

Setelah empat bulan berjualan di online, stok bukunya menyusut. Pada masa sama, ramai pemilik buku menghubunginya untuk menjual stok buku-buku lama secara pukal. Sejak itu, komunikasi personal di Facebook jadi agresif. Keadaan jadi rancak antara demand jualan dan tawaran pembelian.

“Akhirnya, saya mula berfikir perlunya memiliki kedai. Walaupun kecil, memadai untuk memudahkan saya menjual dan membeli buku,” kata Che Mohamad.

Namun, dalam keadaan tanpa modal serta kesedihan hidup kerana pengajian anak sulung di universiti terpaksa diberhentikan, Che Mohamad tidak mampu menyewa lot kedai.

Syarat bayaran muka 3 bulan sewaan dan wang cagaran bil elektrik antara RM300 ke RM500, sesuatu yang di luar kemampuan.

Akhirnya, dia memilih Bazar Streel Mall di Bangi. Bukan lot kedai yang terbina sasa, tetapi deretan kedai caruk di tepi bangunan. Baginya, memadai dengan lot kedai yang naif dengan berdinding zink biru dan petakan pagar dawai murah.

Ada sepuluh lot kecil seluas enam kaki kali 12 kaki. Bumbungnya juga zink. Walaupun saiz kedai sangat sempit, Che Mohamad bersyukur kerana pemilik yang menyewakan lot itu membenarkan peniaga mengatur barang jualan memenuhi pedestrian.

“Kami dibenar menyusun barang jualan hingga ke laman depan. Kedai boleh dibuka tiap hari. Tetapi pasar karat buku di foyer hanya dibenarkan sebulan sekali,” katanya.

Street Mall Bangi ialah bangunan rumah kedai dua tingkat dengan model terkini. Bangunan di sisi Bangi Gateway itu dibina dan disiapkan pada 2017, ketika era permintaan hartanah merudum. Tiada pembeli yang mampu memiliki lot berharga RM300 ribu ke RM450 ribu.

Apalagi menyewa pada kadar RM4500 hingga RM6 ribu sebulan. Hingga kini, dengan bangunan terbengkalai di belakangnya Street Mall menjadikan pemandangan lokasi itu nampak teruk. Justeru, tidaklah aneh, bangunan rumah kedai yang nampak cantik itu, jadi sunyi sepi.

Kontrak sewaan hanya setahun

Bazar Street Mall tempat Che Mohamad berniaga, didirikan di tepi jalan antara Street Mall dan bangunan terbengkalai. Binaan yang cincai dan sekadar ada. Satu usaha pemilik bangunan untuk menyewakan kepada peniaga kecil sementara keadaan ekonomi pulih.

“Kami diberi kontrak sewaan setahun sahaja. Pemilik akan menamatkan kontrak sewaan kalau dalam tempoh setahun bangunan ini disewa atau dijual,” katanya.

Walaupun 80% lot kedai asal tidak ada penyewa, serta suasana Street Mall yang sunyi, Che Mohamad masih menganggap potensi rezeki tetap ada.

“Urusan jual beli buku lebih mudah di sini. Kalau sepuluh orang datang pun, tetap ada bisnes. Sebab yang datang memang niatnya menjual dan membeli buku,” katanya.

Laman kedai bukunya bersusun dengan rak yang dipenuhi buku-buku terpakai. Tiap rak mewakili genre buku tersendiri. Ada buku ilmiah, buku politik, biografi, komik, majalah lama dan buku sastera.

“Walaupun keadaan lengang dan kurang pelanggan, saya buka setiap hari. Tiap Isnin hingga Khamis, saya buka mulai 10 pagi hingga 6 petang. Pada hari Jumaat sampai Ahad, buka sampai 10 malam,” katanya.

Pada kadar sewa RM450 sebulan, serta mengilirkan empat anak-anaknya bekerja, kos tanggungan operasi tidak membebankan. Anak-anak Che Mohamad juga faham, ini bisnes menyambung rezeki keluarga apabila ayah kehilangan kerja.

Walaupun satu masa dulu pernah dikelilingi orang politik kerana kerjanya, kini semua rakan dan kawan lama sudah melenyap pergi. Masing-masing dalam melalui hidup dalam keadaan terkapai-kapai. Che Mohamad memilih meneruskan hidup dengan dunia baru. Rakan-rakannya kini ialah pembeli dan penjual buku.

“Sejak hilang kerja, saya terputus hubungan dengan rakan-rakan. Kita bukan orang politik. Cuma, bidang kerja kita dulu dianggap sebagai berkaitan dengan politik. Itu saja,” kata Che Mohamad mengakhiri cerita.

Itu satu antara ratusan kisah yang telah dan akan terus didengar. Kerana ada lebih 17 ribu cerita mengenai hal ini. Walaupun terdapat ratusan bekas penjawat kontrak kini terus aktif menentang kerajaan PH dengan tampil di platform politik.

Namun, bagi beribu-ribu yang tiada bakat politik dan selama bekerja dahulu hanya terlibat membantu kerajaan lama, mereka akan terus terkapai-kapai kerana terpaksa mencari dan membina kehidupan baru.

Kisah penceraian, tekanan jiwa, muflis, kehilangan rumah dan kereta serta hidup melarat atas simpati kawan-kawan, sudah menjadi cerita biasa.

Semuanya kerana 17 ribu orang ini dicap lantikan politik. – 7 Ogos, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen