PEMIMPIN muda Umno kini takut memperjuangkan isu apabila melihat pemimpin mereka tidak mendapat sokongan selepas didakwa di mahkamah, kata Ketua Umno Bahagian Sungai Besar Jamal Md Yunos.
Perkara itu menjejaskan moral anak muda untuk menyuarakan isu dengan lantang bagi kepentingan Umno sekiranya sikap itu dibiarkan berterusan dalam parti.
“Apabila mereka ingin berjuang secara lantang dan sebagainya, mereka bimbang bila dituduh dan didakwa, mereka akan tanggung seorang diri.
“Umno tidak mempunyai pemimpin pelapis yang berani jika perkara ini berterusan. Ramai dari kalangan pemimpin Umno ini hanya mementingkan diri sendiri,” katanya.
Jamal berkata Umno sepatutnya mencontohi ahli PAS dan PKR yang tetap mempertahankan pemimpin parti yang dikenakan tindakan undang-undang.
“Mereka bermati-matian mempertahankan pemimpin mereka. Malah mereka juga sanggup buka tabung, bayar duit peguam dan sebagainya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Jamal yang dahulunya aktif melakukan gimik bantahan ke atas Pakatan Harapan melalui NGO Gerakan Baju Merah berkata, beliau kini hanya memerhatikan perkembangan semasa dari jauh.
Beliau kecewa kerana kalangan ahli dan pemimpin Umno yang mementingkan diri sendiri ini juga jauh sekali untuk menyokong, malah gembira dengan tindakan undang-undang dihadapinya.
“Ada yang bukan sahaja tidak ada simpati, tetapi mereka cakap ‘padan muka’. Perkara ini yang melemahkan semangat saya,” katanya yang dibebaskan dari hukuman penjara akhir Julai tahun lalu.
Jamal meraih populariti sebagai pemimpin prokerajaan Barisan Nasional waktu itu dan wira yag sering mengkritik Pakatan Harapan sejak 2016.
Antara gimik yang dilakukannya adalah dengan berdemo seorang diri di hadapan pintu utama bangunan kerajaan Selangor dengan hanya bertuala untuk membantah isu bekalan air negeri itu.
Beliau sekali lagi hadir ke hadapan bangunan itu untuk membantah satu penganjuran festival bir pada 2017. Puluhan botol bir dipecahkannya dengan menggunakan tukul besi di kawasan itu.
Perbuatan itu menyebabkannya dituduh di mahkamah kerana didakwa melakukan mudarat awam.
Pendakwaan dilakukan di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang kerana Jamal mengadu sakit belakang. Beliau didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan.
Jamal seterusnya menghilangkan diri daripada Hospital Pakar Ampang Puteri pada 25 Mei tahun lalu hingga menyebabkan pihak berkuasa mengeluarkan waran tangkap
Semasa kehilangannya, Jamal menyiarkan video menunjukkan beliau di sebuah kebun kelapa sawit yang didakwa di sebuah negara jiran.
Sewaktu diburu pihak berkuasa itu, Jamal juga menang jawatan ketua Umno Sungai Besar dalam pemilihan parti yang berlangsung pada Jun 2018.
Beliau akhirnya ditahan polis Indonesia pada bulan berikutnya dan dibawa pulang ke Malaysia untuk dihadapkan ke mahkamah semula.
Pada 5 Julai 2018, Jamal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret atas tuduhan melarikan diri dari jagaan polis di hospital. Mahkamah yang menolak permohonan jaminan mengarahkannya dipenjara.
Beliau hanya dibebaskan dari penjara hampir sebulan kemudian selepas Mahkamah Tinggi membenar ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan tiga penjamin.
Jamal juga didakwa atas tuduhan menceroboh dua premis perniagaan yang didakwanya sebagai pusat judi haram. – 7 Ogos, 2019.
Komen