Jokowi ancam pecat pegawai gagal kawal kebakaran hutan


Pihak berkuasa Indonesia mengerahkan beribu anggota keselamatan untuk mengelakkan kebakaran hutan 2015 berulang. – Gambar AFP, 6 Ogos, 2019.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo hari ini memberi amaran akan memecat pegawai yang gagal menyelesaikan masalah kebakaran hutan yang menyebabkan jerebu di Singapura dan Malaysia.

Joko Widodo yang dikenali sebagai Jokowi mengeluarkan amaran tersebut susulan tekanan yang Indonesia terima daripada kedua-dua negara jiran yang dilanda jerebu. Asap dari kebakaran hutan juga menyebabkan kualiti udara di beberapa bahagian di Asia Tenggara terjejas.

“Saya sudah maklumkan ketua-ketua tentera dan polis supaya pecat siapa yang gagal mengawal kebakaran hutan,” katanya pada mesyuarat menteri Kabinet mengenai isu tersebut di Jakarta hari ini.

“Kita akan malu dengan negara lain jika masalah jerebu ini tidak diselesaikan.

“Tidak kira bagaimana kecil kebakarannya, mesti dipadamkan segera.”

Pihak berkuasa Indonesia mengerahkan beribu anggota keselamatan memadam kebakaran untuk mengelakkan kebakaran hutan 2015 berulang. Ia merupakan peristiwa terburuk dalam tempoh dua dekad dan menyebabkan jerebu selama berminggu-minggu.

Jokowi berkata kebakaran hutan besar-besaran pada tahun itu menyebabkan negara itu kerugian kira-kira 221 juta rupiah dan 2.6 juta hektar kawasan hutan terbakar.

“Jangan biar ia berulang,” katanya. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen