Pencarian remaja Ireland hilang diteruskan di kawasan sungai


Alfian Z.M. Tahir

Seorang ahli bomba melakukan pencarian di sekitar Sungai Berembun yang terletak berhampiran resort The Dusun. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Ogos, 2019.

PENCARIAN remaja Ireland yang hilang Nora Quourin kini berpusat di Sungai Berembun, sebuah sungai yang mengalir 60 meter dari resort The Dusun berhampiran Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut saksi, gadis itu dilihat kali terakhir berenang tanpa berpakaian di sungai berkenaan pagi ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusof memberitahu media tempatan dan asing petang ini bahawa ibu bapa remaja berkenaan memaklumkan anak perempuan mereka tidur hanya berseluar dalam pada malam Sabtu lalu.

Pemeriksaan kemudian mendapati tidak ada pakaian remaja berkenaan yang hilang dari bilik tidurnya. Mohamad juga mengesahkan tidak ada kesan pecah masuk.

“Kami sudah dua kali mencari dengan teliti di kawasan resort seluas 25 ekar itu tetapi tidak menemui apa-apa.

“Kami kini menjalankan pencarian di sungai kerana percaya dia akan mencari air untuk terus hidup.

“Sehingga kini tiada bukti menunjukkan ada unsur penculikan atau jenayah,” katanya.

Mohamad menambah, polis tidak dapat memberikan sebarang bukti adanya “unsur mistik” walaupun penduduk tempatan percaya remaja itu “disorok” di kawasan berkenaan.

“Bagaimana saya dapat membuktikannya?,” katanya.

Penduduk di hutan Jeram Toi mendakwa kawasan itu berhantu walaupun tidak ada bukti tentang hal berkenaan.

“Saya dibesarkan di sini dan ada banyak cerita mistik, tak mustahil walaupun tak masuk akal,” kata Mansor, 36.

Sebuah helikopter polis juga turut digunakan dalam operasi pencarian remaja Ireland yang hilang di resort The Dusun.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Ogos, 2019.

Quoirin tiba di Malaysia bersama keluarganya pada Sabtu untuk bercuti selama dua minggu.

Keluarga itu, terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak mereka mendaftar masuk ke The Dusun Seremban pada jam 7 pagi hari Sabtu. Polis kemudian menerima laporan orang hilang pada jam 11 pagi hari Ahad.

Keluarganya dipercayai masih berada di resort itu yang kini menjadi pusat kawalan operasi. Orang awam tidak lagi dibenarkan masuk ke kawasan itu.

Poster kehilangan gadis itu sudah tular di media sosial dan perkembangan kes itu dipantau oleh Yayasan Lucie Blackman, sebuah organisasi ditubuhkan pada 2000 untuk membantu warga British yang berdepan masalah di luar negara.

Mohamad kemudiannya ditanya sama ada benar penduduk tempatan tidak dibenarkan menyertai misi mencari dan menyelamat.

“Kami tidak boleh memaksa orang untuk menyertai misi itu tetapi kami menafikan dakwaan yang pihak berkuasa menolak tawaran daripada penduduk kampung.

“Kami tak boleh paksa tapi kami tak boleh halang mereka,” katanya.

Misi mencari dan menyelamat telah memasuki hari ketiga dengan 178 anggota termasuk dari unit elit Senoi Praq dan unit K9 terlibat. Sebuah helikopter polis juga turut digunakan. – 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen