Pelepasan visa AS terbatal jika masuk Korea Utara


Washington semalam membatalkan hak mendapatkan pelepasan visa ke Amerika Syarikat (AS) kepada warga asing yang pernah melawat Korea Utara sepanjang lapan tahun lalu yang dilihat sebagai satu tamparan kepada industri pelancongan negara yang terasing itu. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2019.

WASHINGTON semalam membatalkan hak mendapatkan pelepasan visa ke Amerika Syarikat (AS) kepada warga asing yang pernah melawat Korea Utara sepanjang lapan tahun lalu yang dilihat sebagai satu tamparan kepada industri pelancongan negara yang terasing itu.

Di bawah program pengecualian terbabit AS membenarkan warga daripada 38 negara termasuk Korea Selatan, Jepun dan Perancis memasuki AS sehingga 90 hari tanpa visa.

Bagaimanapun menurut butiran yang disiarkan semalam di laman web Kastam dan Perlindungan Sempadan AS, pelawat yang pernah berkunjung ke lapan negara termasuk Korea Utara sejak 1 Mac 2011 tidak lagi layak.

Mereka juga perlu memohon visa pelancong atau perniagaan.

Tujuh negara lain yang kebanyakannya di Asia Barat sudahpun berada dalam senarai pengecualian terbabit.

Perubahan itu akan menjejaskan puluhan ribu pengunjung dari negara yang menikmati pelepasan visa yang pernah ke Korea Utara sebagai pelancong atau untuk tujuan lain beberapa tahun kebelakangan ini.

Ia juga melunturkan semangat Presiden Korea Selatan Moon Jae-in untuk mempromosikan projek pelancongan rentas sempadan untuk warganya jiran nuklear mereka.

Media Korea Selatan memberi tumpuan kepada pemimpin perniagaan termasuk Pengerusi Samsung Electronics Lee Jae-yong yang merupakan sebahagian daripada delegasi ke Pyongyang untuk sidang kemuncak bersama pemimpin Korea Utara Kim Jong-un pada September.

Jurucakap Samsung bagaimanapun enggan memberikan sebarang maklum balas.

Warga AS dilarang masuk ke Korea Utara sejak 2017 yang merupakan satu langkah yang diperkenalkan selepas seorang pelajar AS ditahan Pyongyang dibebaskan dalam keadaan koma dan meninggal dunia beberapa hari kemudian. – AFP, 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen