Maghribi selamatkan 424 pendatang


Migran terbabit, kebanyakannya dari negara-negara sub-Sahara, yang menaiki sebuah bot getah, termasuk 53 wanita dan 16 kanak-kanak, telah diselamatkan di Selat Gibraltar oleh tentera laut Maghribi. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2019.

TENTERA laut Maghribi pada Ahad malam dan Isnin telah menyelamatkan sejumlah 424 migran yang dalam perjalanan ke Sepanyol di Mediterranean, lapor agensi berita China Xinhua memetik laporan agensi berita rasmi MAP.

Migran terbabit, kebanyakannya dari negara-negara sub-Sahara, yang menaiki sebuah bot getah, termasuk 53 wanita dan 16 kanak-kanak, telah diselamatkan di Selat Gibraltar oleh tentera laut Maghribi.

Menurut laporan itu, sesetengah migran yang tidak sihat telah menerima rawatan dan kesemua mereka kemudian dibawa ke beberapa pelabuhan di Maghribi.

Maghribi telah menjadi hab bagi migran Afrika yang memasang impian ke Eropah untuk kehidupan lebih baik.

Menurut pihak berkuasa Maghribi, lebih 40,300 percubaan melakukan penghijrahan haram telah digagalkan dalam tempoh enam bulan pertama 2019.– Bernama, 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen