BEBERAPA siri letupan kecil yang mengegarkan Bangkok minggu lepas dikaitkan dengan pemberontak pemisah di selatan Thailand, kata timbalan perdana menteri hari ini.
Polis kini sedang giat memburu suspek selepas dua lelaki ditahan.
Sekurang-kurangnya sembilan letupan atau cubaan pada Jumaat lepas ketika Bangkok menganjurkan persidangan Asean yang turut dihadiri Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo dan Menteri Luar China Wang Yi.
Serangan berlaku ketika kemarahan memuncak susulan penahanan suspek pemberontak dari selatan Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam, ditemui koma di sebuah kem tentera yang menurut kumpulan hak asasi berlaku penderaan.
Siasatan awal mendapati Abdulloh Esormusor, 34, mungkin mati akibat lemas.
Timbalan Perdana Menteri Prawit Wongsuwan berkata kejadian pada minggu lepas itu ‘dikaitkan dengan kumpulan pemisah selatan’.
“Kita perlu siasat bagaimana mereka bergerak, di mana mereka dapatkan bom,” katanya.
Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha hari ini berkata sembilan suspek sedang diburu.
“Siasatan masih berjalan untuk membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.
Dua lelaki dari selatan Thai ditahan minggu lepas tidak lama selepas wayar dan bebola keluli ditemui dalam peranti tidak aktif di luar bangunan ibu pejabat polis di Bangkok. – AFP, 6 Ogos, 2019.
Komen