Kawal vape dengan Akta Racun, Akta Jualan Dadah, kata syarikat rokok


Diyana Ibrahim

Pengarah Urusan Japan Tobacco International (JTI) Malaysia, Cormac O’ Rourke menegaskan pindaan undang-undang bagi mengawal rokok elektronik perlu kerana kajian yang dijalankan syarikat itu mendapati 90% produk vape yang dijual di negara ini mengandungi nikotin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Ogos, 2019.

PINDAAN undang-undang bagi mengawal rokok elektronik perlu meliputi Akta Racun 1952 dan Akta Penjualan Dadah 1952, kata syarikat tembakau Japan Tobacco International (JTI) Malaysia.

Pengarah urusannya Cormac O’ Rourke menegaskan, pindaan itu perlu kerana kajian yang dijalankan syarikat itu mendapati 90% produk vape yang dijual di negara ini mengandungi nikotin.

Jelasnya, perkara itu jelas bertentangan dengan Akta Racun 1952 dan Akta Penjualan Dadah 1952 yang melarang jualan bahan nikotin oleh individu yang tidak diberi permit atau lesen.

“Adakah kementerian kesihatan keliru dengan undang-undang sendiri? Secara teknikalnya penjualan vape di negara ini haram kerana tiada satu pun lesen dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

“Namun apa yang kini dilihat sini trend penjualan vape yang semakin berkembang dan dijual secara berleluasa terutama menerusi platform online,”  katanya kepada pemberita.

Beliau mengulas pengumuman Kementerian Kesihatan pada Julai lalu untuk membentangkan rang undang-undang bahawa bagi menangani penggunaan rokok elektronik dan shisha.

Kerajaan menjangka untuk membentangkannya pada hujung tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan dan masih belum menyatakan kandungan cadangan itu.

O’ Rourke bagaimanapun berkata kajian yang dijalankan syarikat itu dengan agensi Nielsen mendapati 10% di kalangan perokok dalam negeri menggunakan rokok elektronik.

Peningkatan penggunaan produk itu tanpa kawalan menyumbang dalam pasaran gelap yang menyebabkan kerugian hasil cukai sebanyak RM1 bilion setahun kepada kerajaan, katanya.

Selain itu, kerajaan juga kehilangan hasil sebanyak RM5 juta akibat penyeludupan rokok, katanya. – 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen