Gunakan kami untuk kesan gadis Ireland hilang, kata penduduk kampung


Alfian Z.M. Tahir

Nora Quoirin hilang di The Dusun di Negeri Sembilan sejak Ahad lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Ogos, 2019.

PENDUDUK berhampiran hutan Jeram Toi berhampiran Seremban, Negeri Sembilan kawasan remaja warga Ireland Nora Quoirin,15, dilaporkan hilang marah dengan pihak berkuasa yang tidak membenarkan mereka menyertai misi mencari dan menyelamat.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight yang mereka lebih arif tentang kawasan hutan itu dan lebih mengetahui cara terbaik mengesan gadis itu. 

Salah seorang penduduk, Mohamad Nordin berkata gadis itu tidak jauh berada dari lokasi terakhir beliau dilihat.

“Dia tak jauh, dia ada sekitar kawasan ini. Kami tahu, dan beberapa orang di sini boleh bantu bawa balik gadis itu,” kata lelaki berusia 71 tahun itu.

Seorang lagi penduduk tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat juga bersetuju dengan Mohamad, mereka juga menolak dakwaan media British yang gadis itu diculik.

“Dia tak diculik, dia juga tak berjalan keluar dari resort itu sendiri. Dia dibawa keluar oleh benda ghaib.

“Mereka yang percaya dia diculik bodoh. Tidak mungkin dia diculik. Dia juga tak boleh berjalan keluar dari resort itu tanpa dilihat penduduk di sini.

“Jika mereka minta kami tolong, kami boleh bantu bawa dia balik. Kami hanya perlu ‘berunding’ dengan sesetengah ‘orang’ yang sudah lama tinggal dalam hutan itu. Tetapi, kami tak dibenarkan (tolong), jadi kami hanya duduk dan tengok,” kata Pak Mat kepada The Malaysian Insight.

Penduduk kampung marah kerana tidak dibenarkan menyertai misi mencari dan menyelamat gadis Ireland yang hilang di kawasan mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 6 Ogos, 2019.

Kedua-dua mereka jelas sekali marah dengan pasukan mencari dan menyelamat terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan beberapa agensi lain yang tidak membenarkan penduduk setempat menyertai misi itu.

Ditanya sama ada berlaku kes serupa sebelum ini, Pak Mat berkata kali terakhir orang hilang berlaku hampir 40 tahun lalu, menambah yang beliau tidak tahu apa yang terjadi kepadanya.

Tetapi, dalam kes terbaru ini, katanya penduduk kampung yakin Quoirin tidak berada jauh dari kawasan itu.

Misi mencari dan menyelamat masuk hari ketiga hari ini, dan setakat ini tiada petunjuk ditemui tentang lokasi gadis itu. Polis Negeri Sembilan dijangka memberi taklimat media petang ini.

Semalam, polis menolak kemungkinan kes itu adalah kes culik dan masih menyiasatnya sebagai kes orang hilang.

Quoirin tiba di Malaysia bersama keluarga pada Sabtu lalu untuk lawatan dua minggu.

Keluarga itu, terdiri daripada pasangan suami isteri dan tiga anak mereka mendaftar masuk ke The Dusun Seremban pada jam 7 pagi hari Sabtu. Polis kemudian menerima laporan orang hilang pada jam 11 pagi hari Ahad.

Keluarganya dipercayai masih berada di resort itu yang kini menjadi pusat kawalan operasi. Orang awam tidak lagi dibenarkan masuk ke kawasan itu.

Poster kehilangan gadis itu sudah tular di media sosial dan perkembangan kes itu dipantau oleh Yayasan Lucie Blackman, sebuah organisasi ditubuhkan pada 2000 untuk membantu warga British yang berdepan masalah di luar negara.

Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes itu boleh menghubungi organisasi terbabit di talian +44-8000-988-485 atau email  [email protected]. – 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen