RM6 bilion cukai lesap kerana pasaran gelap, kata syarikat rokok


Diyana Ibrahim

Pengarah Urusan JTI Malaysia Cormac O’ Rourke berkata jumlah itu berdasarkan hasil selidik terbaru yang dilakukan organisasi tersebut antara Mac dan Mei tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Ogos, 2019.

KERAJAAN kerugian RM6 bilion daripada pendapatan cukai setahun daripada rokok seludup dan industri vape haram, kata syarikat tembakau Japan Tobacco International (JTI) Malaysia.

Pengarah Urusan JTI Malaysia Cormac O’ Rourke berkata jumlah itu berdasarkan hasil selidik terbaru yang dilakukan organisasi tersebut antara Mac dan Mei tahun ini.

Kajian dijalankan dengan firma Nielsen itu mendapati daripada jumlah RM6 bilion itu, kerugian RM5 bilion akibat pasaran gelap rokok dan RM1 bilion lagi daripada pasaran gelap industri vape.

Kajian juga mendapati penyeludupan dua bahan itu menguasai pasaran sehingga 70% tahun ini berbanding 50% tahun lepas.

Tambahnya, berdasarkan kajian JTI mendapati produk haram itu menguasai pasaran yang besar kerana beberapa jenama rokok seludup meletakkan setem cukai palsu.

Jelasnya, trend itu amat membimbangkan biarpun kerajaan memperkenalkan kenaikan penalti bagi penyeludupan dibawah Akta Kastam 1967 pada Januari ini.

Pengarah Komunikasi JTI Malaysia Azrani Rustam pula tidak menolak andaian perokok memilih untuk membeli rokok seludup yang lebih murah disebabkan kenaikan cukai ke atas rokok.

Katanya trend itu bertambah buruk kerana penyeludupan tembakau menguasai pasaran gelap berbanding alkohol saban tahun.

Beliau berkata kerana itu JTI mencadangkan pelaksanaan moratorium cukai.

“Daripada kajian apa yang kita dapati bila kerajaan menaikkan cukai kita terpaksa menaikkan harga rokok.

“Dan pengguna sudah tentu akan memilih rokok yang lebih murah,” katanya.

JTI Malaysia turut memetik kajian Exford Economics yang melaporkan, Malaysia menjadi syurga kepada sindiket penyeludupan disebabkan kenaikan cukai eksais sehingga 40% pada 2015. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 6 Ogos, 2019.

Kenyataan itu turut disokong oleh O’ Rourke yang menggesa kerajaan menubuhkan badan bebas bagi menyiasat perkara itu.

JTI Malaysia turut memetik kajian Exford Economics yang melaporkan, Malaysia menjadi syurga kepada sindiket penyeludupan disebabkan kenaikan cukai eksais sehingga 40% pada 2015.

Kenaikan itu dilaporkan menyebabkan limpahan rokok tiruan di pasaran Malaysia sehingga 12 bilion batang, menyebabkan kerajaan menanggung kerugian sehingga RM5.1 bilion setiap tahun.

Susulan itu, JTI Malaysia dan syarikat pesaingnya, British American Tobacco (BAT) menutup kilangnya di Malaysia mengakibatkan lebih 5,000 hilang pekerjaan.

O’Rourke juga memetik kajian Euoromonitor International yang menunjukkan Malaysia menduduki tempat teratas dalam senarai penyeludupan rokok haram di dunia

“Dah kita jangkakan kedudukan Malaysia akan terus kekal,” katanya.

Beliau pada masa sama berkata kerajaan gagal dalam menangani isu tersebut memandangkan tiada tindakan dilakukan buat masa ini.

“Pada mulanya kita optimistik kerajaan baharu ini akan menunaikan janji dalam manifesto bagi menangani wabak itu tapi jelas mereka gagal berbuat demikian,”

Katanya, perkara itu menunjukkan berlaku rasuah dalam institusi kerajaan dan tidak melihat sebarang perubahan ke atasnya sejak kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih. – 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen