Pemimpin Turki, Pakistan bincang isu Kashmir


Anggota tentera berkawal di Jammu susulan Kashmir dikenakan tindakan berkurung oleh India. India secara tidak sah mengubah status istimewa Kashmir. – Gambar AFP, 6 Ogos, 2019.

PRESIDEN Turki Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatnya dari Pakistan membincangkan tindakan India memansuhkan status istimewa Kashmir, lapor agensi berita Anadolu memetik satu kenyataan pada Isnin.

Imran Khan menelefon Erdogan untuk memaklumkan beliau mengenai langkah terkini India itu, menurut kenyataan yang dikeluarkan Direktorat Komunikasi Presiden Turki.

Kenyataan itu menyebut Erdogan menggesa Pakistan dan India memperkukuh proses dialog.

“Tindakan India secara tidak sah mengubah status istimewa Kashmir yang didudukinya akan mempunyai kesan serius terhadap keamanan dan keselamatan serantau,” kata Khan.

Khan “mengulangi Pakistan akan meneruskan sokongan diplomatik, moral dan politiknya terhadap perjuangan Kashmir bagi menentukan nasib mereka sendiri sebagaimana yang termaktub dalam resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu,” menurut kenyataan itu.

Erdogan turut berkongsi kebimbangan berhubung situasi itu dan memberi jaminan kepada Khan mengenai “sokong kuat” Turki dalam hal ini.

India pada Isnin bertindak memansuhkan status istimewa negeri yang penduduk majoritinya Islam itu yang memberikan autonomi kepadanya sebagai pertukaran untuk bergabung dengan kesatuan India selepas kemerdekaan pada 1947.

Peruntukan itu membolehkan Jammu dan Kashmir menggubal undang-undangnya sendiri serta tidak membenarkan orang luar menetap dan memiliki tanah di wilayah tersebut.

Rantau Himalaya itu dimiliki sebahagiannya oleh India manakala sebahagian lagi oleh Pakistan, dan dituntut secara keseluruhan oleh kedua-dua negara. – Bernama, 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen