Trump arah aset kerajaan Venezuela di AS dibekukan


Presiden Donald Trump arah aset kerajaan Venezuela di AS dibekukan dan transaksi disekat, dalam langkah terbaru Washington terhadap Presiden Nicolas Maduro. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2019.

PRESIDEN Donald Trump mengarahkan semua aset kerajaan Venezuela di Amerika Syarikat (AS) dibekukan dan transaksi disekat, dalam langkah terbaru Washington terhadap Presiden Nicolas Maduro.

Trump mengambil langkah itu susulan kuasa Maduro berterusan dan mereka yang dikaitkan dengannya, selain salah guna kuasa terhadap hak asasi manusia, menurut arahan itu.

The Wall Street Journal berkata langkah itu yang pertama terhadap kerajaan Western Hemisphere dalam tempoh 30 tahun, dan Caracas dikenakan sekatan yang hampir sama dihadapi oleh Korea Utara, Iran, Syria dan Cuba.

Arahan itu membabitkan semua hartanah dan kepentingan dalam hartanah milik kerajaan Venezuela yang ada di AS, atau semua milikan yang dikawal oleh mana-mana individu warga AS.

Aset itu disekat dan tidak boleh dipindahkan, dibayar, dieksport, ditarik balik atau diurusniagakan, kata arahan itu.

Langkah itu juga menyekat transaksi dengan pihak berkuasa Venezuela di mana asetnya disekat.

Ketua pembangkang Venezuela Juan Guaido mengisytiharkan dirinya sebagai presiden interim awal tahun ini dalam usahanya menggulingkan Maduro, dan ia disokong oleh AS serta beberapa negara lain.

Tetapi usaha Guaido tertangguh walaupun mendapat sokongan antarabangsa dan tentangan terhadap Maduro yang meluas, Maduro tetap dapat memegang kuasa dengan sokongan angkatan tentera negara itu.

Negara yang kaya minyak tetapi miskin itu berdepan kemelesetan sepanjang lima tahun lalu. Kekurangan bekalan makanan dan ubat sering berlaku, dan perkhidmatan awamnya gagal. – AFP, 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen