SEORANG jurucakap Kementerian Luar China pada Isnin sekali lagi menggesa Amerika Syarikat (AS) agar menghentikan campur tangan dalam hal ehwal Hong Kong dan berkata tiada pihak harus memandang rendah resolusi tegas China untuk melaksanakan prinsip “satu negara, dua sistem” serta menjaga kemakmuran dan kestabilan di Hong Kong, lapor agensi berita Xinhua.
Hua Chunying membuat kenyataan itu ketika menjawab sepucuk surat daripada beberapa penggubal undang-undang AS pada Jumaat, yang mendesak kerajaan AS tidak membantu “penindasan terhadap demonstrasi aman Hong Kong” dan menolak idea untuk mendefinisikan demonstrasi itu sebagai “rusuhan.”
Beliau berkata pihak radikal ganas di Hong Kong telah melakukan kerosakan ketika menyerbu Bangunan Perundangan dan Pejabat Perhubungan Kerajaan Rakyat Pusat di Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR).
Mereka dengan sengaja merosakkan kemudahan awam, menghalang lalu lintas awam serta menyimpan barangan dan senjata berbahaya secara haram selain menyerang polis.
“Kesemua adegan ini telah disaksikan oleh orang di seluruh dunia. Jadi bagaimana individu terbabit di Amerika Syarikat menggelarnya sebagai demonstrasi aman?” soal Hua.
“Semua orang yang memiliki hati nurani akan setuju bahawa kesemua tingkah laku ganas itu sudah melampaui batasan dalam mana-mana masyarakat yang bertamadun. Mereka telah melangkaui batasan demonstrasi aman dan kebebasan bersuara, mereka juga telah memijak kedaulatan undang-undang Hong Kong, mengancam keselamatan penduduk tempatan dan merosakkan harta benda selain melanggar dasar satu negara, dua sistem. Perkara-perkara sebegini tidak boleh diterima,” kata Hua.
Beliau berkata pihak AS tidak menyebut langsung perkara itu sebaliknya bertindak membutakan mata dan memekakkan telinga berhubung penyalahgunaan kuasa serta tindakan ganas polis di negara itu sendiri, tetapi pada masa yang sama, ia begitu lantang mengkritik atau cuba mencemar penguatkuasaan undang-undang yang profesional, bertamadun dan terkawal polis Hong Kong.
“Ini hanya akan membantu dunia untuk melihat betapa sombongnya pihak AS yang juga bersikap berat sebelah, hipokrit, kejam, mementingkan diri serta suka mengarah. Adakah keganasan yang bermaharajalela serta keruntuhan kedaulatan undang-undang adalah sesuatu yang pihak AS gelarkan sebagai hak asasi manusia dan kebebasan?” soal Hua.
Justeru, Hua menggesa pihak AS agar berhenti membiarkan sahaja perlakuan jenayah ganas dan menjejaskan pentadbiran pemerintah HKSAR yang dilakukan mengikut undang-undang serta campur tangan dalam hal ehwal Hong Kong. – Bernama, 6 Ogos, 2019.
Komen