SKANDAL seks politik mula mengorak langkah kejinya menjelang pilihan raya umum akan datang, yang mungkin berakhir sejijik apa yang pernah berlaku pada 2013.
Sasaran terbaru adalah Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mendakwa diugut oleh individu tertentu supaya meninggalkan Bersatu. Jika beliau tidak berbuat demikian, “gambar sensitif” yang boleh merosakkan keluarganya akan didedahkan kepada umum.
Situasi yang dihadapi Syed Saddiq kini mengulangi kisah kejadian video dan gambar ahli-ahli politik pembangkang yang diedarkan beberapa bulan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.
Bezanya adalah soal bagaimanakah taktik keji ini boleh memberi kesan kepada pengundi yang sekarang lebih celik media dan lebih bimbangkan isu sara hidup, kata penganalisis dan ahli politik.
Malaysia sudah bergelumang dengan pelbagai skandal- peribadi dan kewangan- sejak dua dekad lalu selepas bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dipecat dan dipenjarakan, kata penganalisis Ibrahim Suffian.
“Ia sebahagian daripada landskap politik semasa. Jika anda bertanding, anda perlu jangka yang musuh anda akan gunakan semua senjata untuk lawan anda,” kata Ibrahim dari Merdeka Center.
Tetapi bukan setiap “pendedahan” memberi kesan kepada ahli politik, parti dan pengundi mereka dengan cara yang sama, kata Rafizi Ramli yang membantu partinya PKR mengharungi skandal menjelang PRU2013.
“Ia sangat bergantung kepada sumber legitimasi moral politik ahli politik dan parti terbabit dan skandal paling memberi kesan jika ia menyerang terus dasar sumber legitimasi moral itu,” kata Rafizi yang pada 2013 merupakan pengarah strategik PKR.
Tetapi disebabkan pengundi mahukan ahli politik mereka mempunyai piawaian moral yang lebih tinggi berbanding rakyat biasa, skandal akan memberi kesan kepada populariti pemimpin, kata seorang lagi penganalisis, Hisomuddin Bakar.
“Kesan itu bergantung pada bila skandal itu didedahkan dan bagaimana ahli politik itu menentang dan mempertahankan dirinya,” kata Hisomuddin dari Ilham Centre.
Semuanya soal waktu
Menjelang PRU2013 lalu, video dan gambar gasang beberapa orang individu yang merupakan pelanduk dua serupa ahli politik PKR Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali serta pemimpin PAS Mustafa Ali diedarkan kepada umum.
Ketiga-tiga mereka dengan keras menafikan yang mereka adalah individu dalam video dan gambar tersebut dan mendakwa ia adalah sebahagian kempen untuk memburuk-burukkan seterusnya menyekat momentum pembangkang.
Pada Rabu, Syed Saddiq mendakwa yang ancaman peras ugut itu dibuat sehari selepas beliau mendedahkan tawaran RM5 juta untuk meninggalkan parti.
Dakwaan itu muncul ketika Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) yang disertainya kini mula mengorak langkah untuk merampas kuasa pemerintahan pusat daripada kerajaan memerintah Barisan Nasional (BN).
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) perlu diadakan sebelum Ogos 2018 walaupun ada pendapat yang mengatakan ia mungkin diadakan pada suku pertama tahun depan.
Hisomuddin dari Ilham Centre mengatakan yang semakin lewat skandal didedahkan semakin buruk kesannya seperti seminggu sebelum pengundian berlaku.
“Ketika itu, ahli politik dan partinya tidak mempunyai banyak masa untuk bertindak balas dengan berkesan.”
Walaupun skandal mungkin tidak akan mengubah keputusan mengundi yang sudah menetapkan undi mereka, ia mungkin berkesan kepada pengundi atas pagar, kata Hisomuddin.

Impak yang makin berkurangan
Era media sosial membolehkan pengedaran bahan bergambar untuk memburukkan pihak tertentu lebih mudah dilakukan tetapi rakyat tidak begitu mudah mempercayainya lagi, kata Ibrahim dari Merdeka Center.
“Keupayaan skandal moral untuk meninggalkan kesan sudah berkurangan.”
Beliau menggunakan contoh calon Pilihan Raya Kecil Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud yang sekeping gambar “dia” dikatakan memakai bikini didedahkan.
“Kemudian barulah diketahui yang gambar itu sebenarnya adalah seorang pelakon Filipina. Jadi sekarang, orang lebih skeptikal tentang pendedahan dan ia mengurangkan kesannya.”
Pengundi juga mengambil kira pelbagai faktor sebelum memutuskan siapa yang akan mereka undi dan moral ahli politik adalah salah satu faktor daripada faktor yang lebih besar seperti kemampuan memimpin, kata Ibrahim.
“Ketinggian moral adalah salah satu faktor bersama-sama dengan visi, karisma dan keberkesanan. Kerana itulah kita boleh nampak pemimpin masih boleh menang walaupun terpalit skandal.”
Selaku seorang pemimpin PKR, Rafizi sudah mengalami kesusahan skandal yang ditujukan kepada parti dan pemimpinnya.
Kunci utama untuk berdepan dan mengurangkan kesan skandal adalah mengetahui sumber moral legitimasi parti dan jenis skandal yang boleh memberi kesan paling teruk.
Sangat penting juga untuk menilai kesan skandal itu kepada kehidupan pengundi, kata ahli Parlimen Pandan itu.
“Jika anda tengok semua kejian yang mereka lontarkan kepada pemimpin kami, ia tidak akan mengurangkan tahap sokongan kepada PKR pada 2013. Kami tidak hilang sokongan kerana semua itu,” kata Rafizi yang banyak gambar dan videonya diedarkan ketika itu.
“Kerana legitimasi moral kami berpunca daripada perjuangan menentang korupsi dan advokasi tadbir urus kerajaan yang baik, kami akan lebih terjejas teruk dengan skandal korupsi berbanding parti lain.”
Ia juga terpakai kepada Umno kerana wawasan parti itu adalah menjadi parti orang Melayu, kelas pekerja, jadi ia akan terjejas sekiranya ada pemimpinnya dibuktikan menyalah guna wang awam sedangkan rakyat susah, kata Rafizi lagi.
“Kerana itulah mengapa skandal NFC (National Feedlot Corporation) memberi kesan. Kerana ia menunjukkan pemimpin Umno dengan mudahnya mendapat pinjaman dan menyalah gunakannya,” kata Rafizi.
“Tetapi jika anda terlalu tertumpu kepada soal skandal ia boleh menikam diri sendiri kerana rakyat lebih bimbangkan soal pendapatan mereka.” – 6 Oktober, 2017.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan