Kereta penuh bom punca insiden letupan di Kaherah


Mangsa letupan di depan Institut Kanser Negara di Kaherah dibawa menaiki ambulans. Setakat ini 20 maut dan 47 mangsa cedera dalam insiden itu. – Gambar EPA, 6 Ogos, 2019.

LETUPAN besar yang menyebabkan 20 maut di Kaherah, berpunca daripada sebuah kereta dipandu laju yang penuh dengan bahan letupan, kata pihak berkuasa Mesir.

Kereta itu dipandu laju ketika ia melanggar tiga kenderaan lain pada tengah malam Ahad, menyebabkan letupan besar berlaku di luar Institut Kanser Negara.

“Ada badan tanpa kepala dan mangsa berlumuran darah menyebabkan sukar mengenal pasti mereka,” kata saksi, Mohamed Fathy.

“Ada yang kepala terbakar di tanah.”

Empat daripada 20 mangsa masih tidak dapat dikenali, kata kementerian kesihatan, sementara 47 yang lain cedera.

Empat daripada yang cedera berada dalam keadaan kritikal,” kata jurucakap kementerian Khaled Megahed.

Katanya, mangsa mengalami lecur dengan tahap kebakaran berbeza.

Sebahagian anggota badan turut diambil dari tempat kejadian, katanya.

Presiden Abdel Fattah al-Sisi menyifatkan letupan itu sebagai insiden keganasan.

Di media sosialnya, beliau mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan rakyat Mesir.

Kementerian dalam negeri berkata siasatan teknikal mendapati sejumlah besar bahan letupan di dalam kereta itu, yang meletup bila ia berlanggar. – AFP, 6 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen